KANE gembira selepas diletakkan sebaris Messi dan Ronaldo. FOTO/AFP
Reuters

LONDON: Harry Kane mengakui gembira apabila dirinya diletakkan sebaris dengan dua bintang bola sepak, dunia Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo selepas jaringan hatriknya membantu Tottenham Hotspur menumpaskan Southampton 5-2 di Stadium Wembley, selain turut memecahkan beberapa rekod dalam perlawanan itu.

Kane, 24, bakal menutup tirai tahun 2017 dengan 56 gol dalam semua pertandingan termasuk ketika mewakili England untuk mengenepikan Ronaldo dan Messi yang muncul sebagai penjaring terbanyak Eropah sejak 2009.

Malah, dia turut mencatatkan jumlah jaringan dan hatrik terbanyak Liga Perdana Inggeris (EPL) dalam tempoh setahun.

Selain itu, dia juga berjaya mengatasi rekod 22 tahun Alan Shearer untuk gol terbanyak saingan EPL dan muncul pemain pertama yang meledak enam hatrik dalam semusim.

“Saya amat berbangga dengan pencapaian ini. Messi dan Ronaldo sudah mendominasi pelbagai gelaran individu untuk tempoh lama dan mereka berdua adalah pemain terhebat dunia,” kata Kane kepada Sky Sports.

Penyerang England itu meneruskan ketajamannya selepas hatrik ke atas Burnley Sabtu lalu dengan menanduk masuk sepakan percuma Christian Eriksen pada minit ke-22 untuk gol liga ke-37 dirinya sepanjang tahun ini.

KANE (kanan) catat enam hatrik dalam EPL musim ini. FOTO/AFP

Kane kemudian mengatasi Messi sebagai penjaring terbanyak Eropah untuk kelab dan negara dengan menolak masuk hantaran leret Son Heung-min pada minit ke-39, sebelum melengkapkan hatrik pada babak kedua dengan Dele Alli dan Son turut mencetak nama selaku penjaring.

Dua pemain Southampton, Sofiane Boufal dan Dusan Tadic cuba merapatkan kedudukan menerusi dua gol, namun ia tidak mampu menghalang Kane dan rakan-rakannya untuk meraih mata penuh dalam aksi itu.

“Sukar untuk mempercayai yang saya kini setanding mereka berdua (Messi dan Ronaldo). Saya ingin memenangi setiap perlawanan dan sudah pastinya saya juga mahu menjaringkan gol buat pasukan. Mengatasi semua rekod itu sememangnya sesuatu yang hebat.

“Untuk berdiri sama tinggi dengan Messi dan juga Shearers umpama mimpi buat saya. Ia adalah musim yang hebat,” katanya.

Dalam aksi itu, Kane melutut sejurus selepas meledak gol pembukaan dan penyokong tuan rumah menyanyi: “Harry Kane, dia milik kami”.

Bekas penyerang England dan Tottenham, Gary Lineker turut memuji Kane dengan menulis di Twitter: “Dia baru melakukannya. Pertama rekod Shearer dan kemudian rekod Messi pula diatasi. Permainan yang bagus @HKane. Pencapaian yang sama sekali menakjubkan”.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Disember 2017 @ 11:39 AM