VAN Dijk menerima gaji mingguan RM985,408.
AFP

LONDON: Liverpool menandatangani bintang Southampton, Virgil van Dijk dengan perjanjian dilaporkan bernilai 75 juta pound sterling (RM410.59 juta) yang sekali gus menjadikan pemain itu sebagai pertahanan termahal dunia.

Van Dijk dikaitkan dengan perpindahan ke Liverpool beberapa bulan lalu dan kelab Anfield itu terpaksa membuat permohonan maaf selepas dituduh mendekati pemain Belanda itu secara haram bagi mendapatkannya awal tahun ini.

Pengurus Reds, Jurgen Klopp kekal bertekad mendapatkan Van Dijk untuk menguatkan barisan pertahanan kelab itu yang dikatakan menjadi punca misi merebut gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) buat Liverpool gagal.

“Gembira dan rasa bangga apabila bersetuju menjadi pemain Liverpool FC,” kata Van Dijk dalam Twitter, disamping gambarnya bersama jersi Liverpool.

“Hari ini adalah hari yang dibanggakan buat saya dan juga keluarga saya apabila saya turut serta dalam kelab terbesar bola sepak di dunia.

“Saya tak sabar untuk menyarung jersi merah yang terkenal ini buat kali pertama di depan Kop dan akan melakukan segala-galanya untuk mencuba dan membantu kelab hebat ini sesuatu yang istimewa dalam tahun mendatang.”

Biarpun Chelsea dan Manchester City turut menyatakan minat terhadap Van Dijk, Klopp akhirnya mendapatkan pemain itu dengan gaji mingguan sebanyak 180,000 pound sterling (RM985,408).

“Kelab Bolasepak Liverpool mengesahkan mereka mencapai persetujuan dengan Southampton bagi perpindahan Virgil van Dijk,” kata kelab itu dalam satu kenyataan di laman sesawangnya.

“The Reds mencapai kata persetujuan bagi perjanjian bersama kelab pesisiran selatan itu, dan pemain itu sendiri akan menyaksikan pertahanan berumur 26 tahun itu berpindah ke Anfield apabila jendela perpindahan kembali dibuka pada 1 Januari 2018.”

Rekod perpindahan dunia bagi pemain pertahanan sebelum ini adalah berjumlah 54 juta pound sterling (RM295.62 juta) yang dibayar Manchester City kepada Tottenham Hotspur bagi mendapatkan pertahanan England, Kyle Walker.

skuad The Saints juga mengesahkan tawaran Liverpool itu namun tidak mendedahkan jumlah sebenar perpindahan.

“Southampton bersetuju dengan jumlah perpindahan yang menyaksikan rekod dunia baru bagi pemain pertahanan. Kelab ini mengucapkan selamat maju jaya buat Virgil dalam masa depannya apabila perjanjian ini akan diselesaikan pada 1 Januari 2018,” kata kelab itu dalam satu kenyataan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Disember 2017 @ 7:38 AM