FAIZAL Saari
Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Bintang Terengganu Hockey Team (THT), Faizal Saari mengakui tidak tergugat dengan kehadiran pakar pukulan sudut penalti terbaik dunia, Gonzalo Peillat yang akan beraksi bersamanya pada saingan Liga Hoki Malaysia (LHM) musim depan.

Sebaliknya, Faizal yang juga pakar pukulan sudut penalti utama skuad kebangsaan menegaskan, banyak impak positif dengan kehadiran bintang Argentina itu.

“Bagi saya, mungkin banyak perkara dapat belajar daripada Peillat seperti mengambil pukulan sudut penalti lebih baik sebab kita semua tahu ketika ini dia adalah pakar pukulan sudut penalti terbaik dunia.

“Jadi kehadirannya bukan saja bagus untuk THT, tapi pemain negara juga,” katanya.

Peillat membantu Argentina memenangi pingat emas Sukan Olimpik Rio 2016 dan dia muncul penjaring terbanyak apabila menyumbang 11 gol.

Faizal menegaskan, tumpuan tidak seharusnya terarah kepada Peillat saja kerana pasukan lain seperti Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) juga berjaya mendapatkan pemain berkualiti.

“Saya jangkakan saingan musim depan cukup sengit dan menarik kerana ramai pemain berstatus bintang dari Australia dan Ireland akan beraksi,” katanya.

Penyerang Malaysian Tigers itu juga enggan terlalu ghairah mahu meletakkan sasaran tinggi membolot semua piala yang dipertandingkan musim depan.

“Yang pasti saya serta rakan sepasukan akan cuba beraksi sebaik mungkin,” katanya.

Saingan LHM akan bermula dengan perebutan Piala Tan Sri P Alagendra bermula 3 Januari depan dengan THT mendapat bye pada awal saingan dan hanya menunggu lawan mereka di suku akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Disember 2017 @ 10:19 AM