BIBI (kiri) enggan mendedahkan identiti pemain Brazil itu.
Attirmidzie Rahman


PENYERANG import dari Brazil kini menjadi sasaran baharu Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) selepas bekas penyerang Melaka United, Marko Simic enggan menyertai pasukan itu.

Presidennya, Bibi Ramjani Ilias Khan berkata, pemain import itu sememangnya sudah disenarai awal oleh KAFA sekiranya pemain yang dikehendaki pasukan gagal dibawa masuk.

Menurutnya, KAFA sudah menyenaraikan dua calon di posisi penyerang yang mempunyai rekod baik bersama pasukan masing-masing sebelum ini.

“Sebelum ini, kami tawarkan kontrak kepada Simic kerana dia sudah biasa dengan pemain tempatan,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan persahabatan menentang Terengganu FC II di Stadium Sultan Muhammad IV malam tadi.

Mengulas mengenai calon import baharu, Bibi enggan mendedahkan identiti pemain itu dan hanya memaklumkan pemain itu berasal dari Brazil.

“Pemain ini orang Brazil... nama saya tidak boleh beritahu lagi. Dia sudah menyatakan persetujuan awal untuk bersama Kelantan musim depan.

“Kami sudah buat rundingan awal dan meminta dia datang ke Kota Bharu sebelum 2 Januari ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Disember 2017 @ 3:05 PM