SUBAHAN dijangka akan bertemu PSSI.
Syafiq Aznan


PERSATUAN Bolasepak Selangor (FAS) akan mengadakan pertemuan dengan Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) bagi menyelesaikan konflik membabitkan perpindahan dua bintang muda republik itu, Evan Dimas dan Ilham Udin Armaiyn.

Naib Presidennya, Datuk Abdul Rauf Ahmad menjelaskan pertemuan akan diadakan dalam masa terdekat dengan Presiden FAS, Datuk Seri Subahan Kamal dijangka akan bertemu PSSI untuk mencari jalan penyelesaian memandangkan dua pemain itu sudah sah menjadi milik Selangor.

“Kami harap isu ini dapat diselesaikan secara baik kerana dua pemain itu sudah menandatangani kontrak bersama kami. Jadi kami tidak mahu timbul masalah jika pemain itu tidak melapor diri mengikut tarikh seperti yang dijanjikan sebelum ini.

“Sebenarnya kami tidak mahu memanjangkan kes ini kerana tidak mahu perancangan yang sudah diatur terganggu dan dikhuatiri jika kes dibawa ke Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), karier dua pemain itu juga boleh terjejas.

“Buat masa ini, kami ada beberapa pilihan tapi saya yakin isu ini dapat diselesaikan menerusi pertemuan antara FAS dengan PSSI. Namun jika ada keperluan untuk mengambil tindakan susulan, kami perlu bincangkannya terlebih dahulu dengan pengurusan tertinggi,” katanya ketika ditemui selepas taklimat pasukan Liga Malaysia 2018 di sini, hari ini.

Sebelum ini, perpindahan dua tonggak skuad Bawah 23 Tahun (B-23) Indonesia itu dikritik hebat oleh Ketua Umum PSSI, Edy Rahmayadi yang melabel dua pemain itu sebagai tidak patriotik dan mata duitan.

Ia kerana Edy tidak mahu pemain Indonesia menyertai mana-mana pasukan di negara ini kerana bimbang corak permainan tonggak skuad kebangsaan Indonesia mudah dibaca dan dikaji oleh jurulatih skuad negara.

Pada masa sama, Edy juga melahirkan kebimbangan kemungkinan Selangor tidak melepaskan pemain mereka ke latihan pusat skuad kebangsaan Indonesia bagi menghadapi Sukan Asia 2018.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Disember 2017 @ 6:22 PM