Zainal (tengah) bertemu dengan bapa Poad, Md Kassim Jisa (kanan) di HSA, semalam.
Mary Victoria Dass

Johor Bahru: Keadaan jurulatih pecut negara, Mohd Poad Md Kassim yang masih menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini, diakui mengganggu emosi atlet yang berlatih di bawahnya.

Ketua jurulatih olahraga negara, Zainal Abbas berkata, kegusaran itu adalah semulajadi kerana Mohd Poad berhubungan baik bersama atletnya.

“Sudah tentu semua atlet dilatih beliau ketika ini agak sedih.

“Bagaimanapun, apabila saya bercakap dengan Badrul Hisyam (Badrul Hisyam Abdul Manap) yang berada di sini, semalam, memaklumkan latihan tetap akan diteruskan dengan perancangan yang disiapkan ‘coach’ Poad sebelum ini,” katanya.

Zainal berkata, semua persiapan itu juga akan dibantu serta dikendalikan jurulatih yang berada di Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI).

“Biasalah kalau atlet itu dah biasa dengan seorang jurulatih memang akan terasa kehilangannya,” katanya ketika melawat Mohd Poad di HSA, di sini, semalam.

Zainal berkata, Mohd Poad kini menunjukkan perkembangan yang positif apabila sudah mula sedar daripada koma sejak Selasa lalu.

“Kita harapkan beliau menerima rawatan terbaik untuk pastikan beliau dapat pulih sepenuhnya.

“Dia juga menunjukkan banyak tanda yang positif dan saya kagum melihat semangat ‘coach’ sendiri. Walaupun dia berada di ICU, saya dapat lihat Poad sedang berjuang dengan mengerjakan solat secara baring,” katanya.

Mohd Poad yang bertanggungjawab melahirkan generasi baru pelari pecut seperti Khairul Hafiz Jantan dan Badrul Hisyam Abdul Manap dimasukkan ke Hospital Sultan Aminah (HSA) sejak Sabtu lalu kerana mengalami jangkitan di paru-paru sebelum menerima rawatan rapi di Unit Rawatan Rapi (ICU), Selasa lalu.

Sebagai rekod, Poad adalah guru dari Chabau, Jasin, Melaka yang juga pemegang Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Jasmani Open University Malaysia (OUM).

Antara kejayaannya adalah melahirkan pemenang pingat emas acara pecut 100 meter (m) di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017), Khairul Hafiz.

Poad membentuk The Speedy Jantan untuk menamatkan kemarau emas 14 tahun negara bagi acara riben biru dengan catatan masa 10.38s, sekali gus menewaskan juara edisi lalu dari Filipina, Eric Shauwn Cray yang mencatat 10.43s dan pelari dari Thailand, Kritsada Namsuwun (10.43s).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Disember 2017 @ 11:24 AM