IBRAHIM Mustapa
Azlan Muhammad Zain

Kuala Lumpur: Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) mengakui ada berbincang dengan Ciclista Sports Sdn Bhd berhubung penganjuran Le Tour de Langkawi (LTdL) 2018 agar ia berjalan dengan lancar dan sempurna.

Menurut Setiausaha Agung PKBM, Ibrahim Mustapa, pihaknya dikunjungi wakil syarikat berkenaan yang difahamkan sudah mendapat mandat Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi membincangkan edisi ke-23 perlumbaan itu.

“Mereka berhasrat untuk menganjurkan perlumbaan sebanyak 10 peringkat pada Mac selain perubahan tarikh. Jadi, kita perlu memanjangkan perkara itu kepada Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) bagi kelulusan,” jelasnya.

Perlumbaan berstatus hors classe itu dicadangkan berlangsung dari 16 hingga 25 Mac berbanding jadual asal di laman sesawang UCI iaitu 3 hingga 10 Mac membabitkan lapan peringkat perlumbaan.

Presiden PKBM, Datuk Abu Samah Wahab ketika ucapan alu-aluan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) PKBM kali ke-29 di Melaka semalam pula menjelaskan perlumbaan akan dianjurkan ‘orang lama’.

Difahamkan syarikat berkenaan akan bekerjasama dengan bekas pelumba negara bagi memastikan edisi ke-23 itu berjalan lancar.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS), sebagai pihak yang menyalurkan bantuan kewangan kepada perlumbaan berstatus hors classe berkenaan, dijangka membuat pengumuman rasmi mengenainya.

Ini bermakna syarikat berkenaan akan menguruskan LTdL buat kali ketiga berturut-turut selepas diberikan tanggungjawab melaksanakannya pada edisi 2015 dan 2016.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 January 2018 @ 9:47 AM