DOMINIC THIEM
Reuters

DOHA: Pilihan utama, Dominic Thiem dipaksa bekerja keras pada pusingan pertama tenis Terbuka Qatar sebelum menewaskan pemain Russia, Evgeny Donskoy dengan keputusan 7-6 (7/3), 6-3, semalam.

Pemain nombor lima dunia itu terpaksa mengerah seluruh tenaganya terutama pada set pertama yang menyaksikan Donskoy hampir mencipta kejutan lebih awal.

Begitupun, pemain kelahiran Austria itu berjaya memenangi aksi tie break sebelum mematikan dua servis Donskoy pada set kedua iaitu di servis keenam dan kesembilan untuk merangkul kemenangan.

Thiem yang menjadi salah seorang pemain yang dijangka mampu melakar kejutan pada tahun ini melakukan lebih daripada 30 pukulan kemenangan bagi mengesahkan tempatnya di pusingan kedua.

Bintang meningkat berusia 24 tahun itu diletakkan pilihan utama di Qatar selepas penarikan diri bintang Serbia Novak Djokovic susulan kecederaan bahu yang berulang.

Pilihan kedua dan ketiga kejohanan iaitu Pablo Carreno Busta dan Tomas Berdych dijadual bermain pada hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 January 2018 @ 1:59 PM