AKSI mantap Caroline ketika menentang Samantha Stosur di Kejohanan Antarabangsa Tenis Terbuka Wanita Devonshire Park, England.
AFP

AUCKLAND: Pemain pilihan pertama Caroline Wozniacki tiada masalah mara ke pusingan kedua Kejohanan Klasik WTA Auckland tetapi pemain pilihan lain bergelut dalam perlawanan pembukaan masing-masing.

Pilihan ketiga dan keempat, Barbora Strycova dan Agnieszka Radwanska kedua-duanya terpaksa bermandi peluh apabila diheret ke set penentuan oleh lawan masing-masing.

Empat lagi pemain pilihan termasuk juara bertahan dan pilihan kelima, Lauren Davis tersingkir di pusingan pertama.

Caroline dari Denmark langsung gagal digugat pemain Amerika Syarikat, Madison Brengle selepas menang 6-3, 6-0.

“Saya memang tak jangka. Ini aksi pertama saya dan semuanya berjalan dengan lancar dan pukulan saya menjadi,” kata Caroline.

Agnieszka mudah mara ke pusingan kedua selepas menang ke atas pemain Brazil berusia 21 tahun, Beatriz Haddad Maia dalam pertarungan sengit tiga set.

Bintang Poland itu cemas di set ketiga sebellum bangkit untuk mencatat kemenangan 6-2, 4-6, 6-2.

“Yang paling penting saya menang di set ketiga” kata Agnieszka.

“Ini kejohanan pertama tahun ini. Kemenangan ini menjadi perangsang semangat untuk perlawanan seterusnya. Juga mengurangkan tekanan pada pusingan kedua,” katanya lagi.

Sementara itu, Barbora memerlukan tiga jam untuk mengatasi Sara Errani dari Itali 6-4, 6-7 (3-7), 6-4 dengan pemain Czech itu tidak mempamerkan kemampuan sebenar sehinggalah di set ketiga.

Juara bertahan, Lauren tewas mengejut 6-1, 6-2 kepada lawan juga dari Amerika Syarikat Sachia Vickery dan seorang lagi pemain kelayakan Ysaline Bonaventure dari Belgium mengecewakan pilihan keenam Yulia Putintseva dari Kazakhstan 6-3, 6-3.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 January 2018 @ 6:35 PM