LLORENTE (dua dari kanan) jaring gol pertama Spurs hasil umpanan Eriksen. -Foto Reuters
Reuters

LONDON: Tottenham Hotspur berupaya merehatkan Harry Kane di bangku simpanan sambil menyaksikan rakan sepasukannya, Fernando Llorente menyinar ketika kelab itu menundukkan Swansea City 2-0 dalam aksi Liga Perdana Inggeris, awal pagi tadi.

Bekas penyerang Swansea, Llorente menikmati aksi dalam kesebelasan utama yang jarang diperolehnya di Spurs selepas Kane mengharungi proses pemulihan susulan selsema yang agak teruk.

Llorente menjaringkan gol pembukaan Spurs pada minit ke-12 sekali pun dia ketika itu tampak berada dalam keadaan ofsaid apabila menyambut sepakan percuma Christian Eriksen.

Pada perlawanan yang berlangsung dalam keadaan hujan lebat di Stadium Liberty, Spurs jelas menguasai perlawanan tetapi Swansea turut berpeluang memecah kebuntuan terutama pada babak kedua menerusi Jordan Ayew selain kesilapan Jan Vertonghen yang hampir menjaringkan gol sendiri.

Begitupun Kane yang dimasukkan pada 20 minit terakhir permainan mengekalkan ketenangannya apabila menjelmakan umpanan buat gol kedua pelawat yang dijaringkan Dele Alli pada minit ke-89.

Kemenangan menyaksikan Tottenham mendaki ke tangga kelima liga di atas musuh setempat, Arsenal.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 January 2018 @ 6:52 AM