EVAN Dimas. FOTO TSC
HM Digital

Kuala Lumpur: Pemain import baru Selangor, Evan Dimas menghela nafas lega selepas drama antara Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) dan Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) berakhir, kelmarin.

Meskipun tiba lewat daripada tarikh asal, namun dia gembira apabila mendapat kebenaran PSSI untuk menyertai Red Giants dan dia dijadualkan sampai di sini, hari ini.

“Saya berterima kasih kepada FAS dan PSSI kerana menemui langkah penyelesaian terbaik berhubung isu ini.

“Saya tidak sabar menyertai sesi latihan bersama Selangor dan bertekad memberikan yang terbaik bagi menjulang pasukan itu musim ini,” katanya semalam.

Kelmarin, pertemuan antara Presiden FAS, Datuk Seri Subahan Kamal dan Ketua Umum PSSI, Edy Rahmayadi di Jakarta mencapai keputusan positif dengan Dimas dan Ilham Udin Armaiyn dibenarkan menyertai skuad Red Giants.

Edy menegaskan pihaknya tiada masalah melepaskan dua tonggak skuad kebangsaan Indonesia yang sebelum ini beraksi dengan Bhayangkara FC itu untuk menyertai latihan Selangor selepas Subahan bersetuju dengan syarat yang ditetapkan badan induk bola sepak Indonesia itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 January 2018 @ 8:14 AM