POCHETTINO (kanan) tak bimbang Spurs terlepas empat teratas EPL. FOTO/AFP
AFP

LONDON: Mauricio Pochettino menegaskan beliau tidak bimbang Tottenham kehilangan kedudukan empat tangga teratas biarpun seri 1-1 dengan West Ham.

Anak buah Pochettino terpaksa berpuas hati dengan satu mata dalam aksi tetangga London di Wembley selepas mensia-siakan banyak peluang yang gagal dimanfaatkan untuk meledak jaringan.

Tottenham memerlukan rembatan jarak jauh daripada pemain Korea Selatan Son Heung-Min ketika perlawanan berbaki enam minit untuk mengelak kekalahan selepas rembatan Pedro Obiang sejauh 30 ela memberikan West Ham gol pendahuluan pada separuh masa kedua.

Pasukan utara London itu kini tiga mata di bawah Liverpool di tangga keempat dalam perebutan ke Liga Juara-Juara menerusi kelompok empat teratas.

Namun pengurus Tottenham Pochettino tetap yakin pasukannya mampu menempah tiket ke kejohanan kelab elit Eropah itu.

“Saya tidak bimbang, kami berada di pertengahan musim. Kami terlepas peluang hari ini tetapi saya fikir kami begitu hampir,” katanya.


PENYERANG Spurs, Harry Kane gagal ledak gol pada aksi menentang West Ham. FOTO/AFP

Pochettino yakin Tottenham tidak bernasib baik selepas West Ham mempamerkan aksi bertahan yang menyaksikan jaringan Obiang pada minit ke-70 itu adalah jaringan pertama mereka sepanjang perlawanan itu.

Bagaimanapun beliau mengakui Tottenham perlu memperkemaskan penyudah mantap selepas penyerang England Harry Kane gagal menyempurnakan beberapa peluang pada malam itu.

“Saya berpuas hati dengan kesungguhan mereka tetapi tidak gembira dengan keputusannya,” kata Pochettino.

“Kami berhak menang tetapi inilah bola sepak dan kami perlu menerima hakikatnya.”

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 January 2018 @ 10:49 AM