SALJI tebal kini melanda Nanjing.
Daripada Aziman Rosdi di Nanjing dan China


PERSIAPAN skuad bawah 23 tahun negara (B-23) kendalian Datuk Ong Kim Swee bagi mengharungi kempen Kejohanan AFC B-23 terjejas selepas aksi persahabatan dengan Syria B-23 petang ini ditangguhkan.

Perlawanan pemanas badan yang menjadi medan bagi Kim Swee menguji kemampuan sebenar anak buahnya itu dijadual berlangsung di Stadium Pusat Latihan Jiangsu, Nanjing, pada jam 4.00 petang ini tetapi terpaksa ditangguhkan sehingga esok berikutan cuaca buruk.

Menurut Kim Swee, cuaca sejuk dengan salji tebal menyukarkan perlawanan itu untuk diteruskan.

“Ini adalah disebabkan keadaan permukaan padang yang dilitupi salji tebal dan berbahaya kepada pemain. Selain daripada itu, pasukan Syria B-23 yang berada di Kunshan juga tidak dapat melakukan perjalanan ke Nanjing kerana jalan ditutup.


KIM SWEE (kiri) sedang memberi taklimat kepada pemainnya. FOTO/FACEBOOK Football Association of Malaysia (Official)

“Sehubungan itu, pihak Persatuan Bola Sepak China (CFA) sedang mencari alternatif lain agar perlawanan ini tetap dapat diteruskan. Walau bagaimanapun ia adalah tertakluk kepada keadaan cuaca dan faktor keselamatan yang lain,” katanya.

Pertemuan dengan Syria adalah aksi pemanas badan terakhir skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee sebelum berdepan Iraq pada 10 Januari, Jordan (13 Januari) dan Arab Saudi (16 Januari) dalam saingan Kumpulan C, Kejohanan AFC B-23 di Changshu.

Jika perlawanan dengan Syria tetap tidak dapat diteruskan esok, Kim Swee akan terus ke Changshu tanpa sebarang aksi ujian di China.

“Sudah tentu jika perlawanan ini masih tidak dapat dilangsungkan esok, ia sesuatu yang mengecewakan buat pasukan Malaysia dan Syria yang mahu menguji kekuatan pasukan masing-masing menjelang kejohanan. Namun demikian ia adalah sesuatu di luar kawalan kerana faktor cuaca,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 January 2018 @ 3:46 PM