ILHAM (kiri) dan Dimas sedia julang Selangor. FOTO/MOHD FADLI HAMZAH
Syafiq Aznan


PEMAIN import baharu Selangor, Evan Dimas yang akhirnya menjejak kaki ke negara ini bertekad membantu The Red Giants menjulang sekurang-kurangnya satu trofi dalam saingan Liga Malaysia (Liga M), musim ini.

Kapten skuad bawah 23 tahun (B-23) Indonesia itu menyatakan dia begitu teruja selepas dibenarkan menyertai skuad kendalian P Maniam dan berjanji akan berusaha keras menjulang pasukan yang pernah dilabel gergasi bola sepak Malaysia itu.

“Selangor pasukan besar dan memiliki sejarah dengan pemain Indonesia. Jadi, ini peluang saya mengikut jejak langkah pemain ternama Garuda seperti Elie Aiboy, Bambang Pamungkas dan Andik Vermansyah.

“Jadi, berbekalkan pengalaman berkelana di Eropah sebelum ini, saya mahu membalas kepercayaan Selangor dan cuba membantu pasukan ini meraih kejuaraan liga atau sekurang-kurangnya memenangi piala,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.

Evan tiba bersama rakan sepasukannya, Ilham Udin Armaiyn dan ketibaan mereka disambut Naib Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Datuk Abdul Rauf Ahmad dan Setiausaha Agung FAS, Rosman Mohd Ibrahim.

Sementara itu, Ilham mengakui dia mendapatkan pandangan daripada beberapa pemain yang pernah beraksi bersama Selangor sebelum memutuskan untuk menerima tawaran menyarung jersi skuad Merah Kuning.

“Sebagai pemain muda yang beraksi di kelab luar dari Indonesia, sudah pasti saya meminta panduan daripada pemain senior dan saya berterima kasih kepada mereka kerana berkongsi pengalaman sepanjang mereka beraksi di sini.

“Ini juga peluang untuk saya menimba pengalaman baharu demi memajukan lagi karier saya. Saya akan bekerja keras menjadikan Selangor pasukan yang lebih baik selepas ini,” katanya.

Sebelum ini, konflik timbul apabila Ketua Umum Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI), Edy Rahmayadi melarang pemain Indonesia daripada beraksi di liga luar selepas Selangor menandatangani dua pemain muda terbabit.

Bagaimanapun, isu diselesaikan secara positif selepas Presiden FAS, Datuk Seri Subahan Kamal mengadakan pertemuan bersama Edy di Jakarta, kelmarin dan FAS bersetuju mengikuti arahan PSSI berhubung penyesuaian jadual dan tempoh pelepasan pemain untuk skuad kebangsaan dan skuad B-23 republik itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 January 2018 @ 10:36 PM