SITI Rahmah dalam proses untuk menurunkan berat badan.


BIARPUN belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan, namun pesilat negara, Siti Rahmah Mohamed Nasir, 28, yakin dia masih mampu menghadiahkan pingat emas sulung dalam acara silat di temasya Sukan Asia Jakarta 2018 nanti.

Malah, Olahragawati Kebangsaan 2016 itu, nyata gembira dan bersyukur kerana kecederaan dialaminya hampir sembuh sekali gus membolehkan pesilat kelahiran Terengganu berkenaan kembali menjalani latihan seperti biasa.

Berikutan itu, Siti Rahmah menegaskan, fokus utamanya kini adalah berlatih bersungguh-sungguh untuk memastikan kecergasan serta ketangkasannya kembali ke tahap terbaik.

“Saya sedang berusaha untuk menurunkan berat badan sebanyak dua kilogram (kg) bagi membolehkan saya bertanding dalam kategori Kelas Puteri D (60 hingga 65kg) di Sukan Asia 2018 nanti.

“Biarpun saingan di sana pasti sengit, namun jika semuanya berjalan lancar, saya akan berusaha dan yakin mampu menghadiah pingat emas pertama kepada seluruh rakyat Malaysia nanti,” katanya ketika dihubung di sini, hari ini.

Menjelang temasya itu, Siti Rahmah serta rakannya yang juga Olahragawan Kebangsaan 2015, Mohd Al Jufferi Jamari dilihat sebagai prospek terbaik buat kontinjen negara meraih pingat emas dalam acara silat di Sukan Asia di Indonesia.

Selaku antara atlet negara yang berada dalam Program Podium 2018, Al Jufferi dan Siti Rahmah jelas menjadi sandaran terbaik Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) bagi meraih pingat kejuaraan pada penyertaan sulung sukan silat di temasya sukan terbesar Asia itu.

Tahun lalu, Al Jufferi dan Siti Rahmah masing-masing menghadiahkan kilauan emas di temasya Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017) sekali gus merekodkan pencapaian terbaik skuad silat negara sepanjang penyertaan pada peringkat Asia Tenggara dengan pungutan 10 emas.

Malah, pasukan silat negara yang diketuai Al Jufferi menutup tirai kejohanan 2017 dengan meraih empat emas dan satu gangsa, di Terbuka Belanda, bulan lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 January 2018 @ 11:02 PM