ABDUL Rauf (kanan) menyambut ketibaan Ilham (dua dari kiri) dan Evan (dua dari kanan) di KLIA. -Foto MOHD FADLI HAMZAH
Syafiq Aznan


PERSATUAN Bolasepak Selangor (FAS) menegaskan pihaknya tidak akan serik untuk mengintai khidmat pemain muda dari Indonesia bagi mewakili skuad The Red Giants pada masa akan datang.

Meskipun timbul konflik antara FAS dan Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) membabitkan perpindahan dua tonggak muda Indonesia, Evan Dimas dan Ilham Udin Armaiyn, namun Naib Presidennya, Datuk Abdul Rauf Ahmad mengakui situasi itu tidak akan menghalang Selangor daripada terus memantau bakat muda dari republik itu sekali gus meneruskan legasi pemain Indonesia dalam pasukan itu.

“Pada pandangan saya, tidak timbul isu serik untuk mengambil pemain dari Indonesia kerana takut perkara ini terjadi lagi memandangkan saya melihat isu yang berlaku sebelum ini sebagai satu cabaran baharu yang perlu dihadapi oleh FAS.

“Apa yang lebih penting adalah pemain itu sendiri memiliki hati dan jiwa untuk beraksi bersama Selangor sama seperti yang dilakukan oleh pemain senior mereka yang pernah ditandatangani sebelum ini.

“Apapun, jika ada lagi pemain yang berpotensi dari Indonesia, kami sentiasa bersedia membuka peluang kepada mereka untuk beraksi bersama Selangor,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam.

Abdul Rauf berada di KLIA untuk menyambut kehadiran dua pemain terbabit yang tiba dari Jakarta, petang semalam dengan mereka dijangka akan menyertai latihan skuad Merah Kuning, Isnin ini.

Mengulas lanjut kehadiran dua bekas tonggak Bhayangkara FC itu, Abdul Rauf mengharapkan mereka dapat memberi suntikan semangat kepada pasukan dan juga penyokong yang menantikan mereka selama ini.

“Sebelum ini kami sudah membawa masuk beberapa pemain dari Indonesia dan kami mengharapkan Evan serta Ilham dapat membawa kejayaan buat Selangor sama seperti yang pernah dilakukan senior senegara mereka sebelum ini.

“Ia bukanlah satu tradisi untuk membawa masuk pemain dari Indonesia tetap ia lebih kepada pemain muda yang dilihat mampu memberi impak kepada Selangor,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 January 2018 @ 12:32 PM