Akif (kiri) mahu dapatkan keserasian bersama skuad TRW. -Foto fail
Attirmidzie Rahman


Pemain muda berbakat, Nik Akif Syahiran Nik Mat mengidamkan peluang untuk beraksi bersama pasukan Kelantan dalam perlawanan pramusim bagi mendapatkan keserasian sebelum Liga Malaysia (Liga-M) bermula Februari depan.

Namun, pemain posisi tengah berusia 19 tahun itu kini berada di Nanjing, China bersama skuad kebangsaan bawah 23 tahun (B-23) bagi menghadapi perlawanan persahabatan sebelum menggalas tugas besar membantu negara dalam Kejjohanan B-23 AFC.

Katanya, aksi pramusim adalah penting untuk mendapatkan pengalaman dan membentuk keserasian antara rakan pasukan.

“Sekiranya sempat pulang ke Malaysia saya berkeinginan untuk bermain dengan pasukan negeri, Kelantan dalam perlawanan persahabatan sebelum Liga M bermula.

“Setakat ini, Alhamdulilah semuanya baik. Selain bersedia untuk berkhidmat kepada negara saya juga berazam membantu The Red Warriors (TRW) mengharungi cabaran sepanjang musim depan jika diberi peluang,” katanya ketika dihubungi menerusi aplikasi Whatsapp, di sini, hari ini.

Sebelum ini, nama pemuda kelahiran Kuala Krai itu tersenarai antara 23 pemain yang bakal memikul cabaran negara dalam Kejohanan B-23 AFC di China.

Namun dalam masa sama, Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) turut menaikkan ‘pangkat’ Nik Akif Syahiran yang pada musim lalu mewakili skuad presiden ke skuad senior TRW yang beraksi di Liga Super musim depan.

Mengulas mengenainya, Nik Akif Syahiran berkata menyertai skuad kebangsaan dalam kejohanan antarabangsa amat diidamkan dan ia disifatkan pengalaman yang berharga.

“Alhamdulilah, saya bersyukur dan berterima kasih kerana mendapat peluang dan kepercayaan dari ketua jurulatih, Datuk Ong Kim Swee.

“Ini adalah peluang untuk saya mengembangkan bakat bola sepak di samping mendapatkan pendedahan yang bernilai ketika beraksi bersama skuad negara,” katanya. pram

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 January 2018 @ 3:49 PM