DINESVARAN (tengah) mahu memenangi liga domestik bersama Jubilo. -Foto fail
Fadhli Ishak


PEMAIN ragbi kebangsaan, K Dinesvaran berhasrat untuk terus kekal beraksi di Liga Utama Jepun bersama pasukan Yamaha Jubilo menjangkaui tahun 2019.

Bekas bintang Cobra yang berhijrah menyertai Jubilo pada tahun 2013 itu berkata, beraksi di Jepun membolehkan prestasinya meningkat ke tahap lebih tinggi.

“Saya cukup bertuah apabila dibayar untuk melakukan apa yang saya suka. Saya cukup gembira sepanjang empat tahun bersama kelab ini,” kata pemain 29 tahun itu yang lebih dikenali sebagai Duke Krishnan di Jepun.

“Saya banyak belajar daripada pemain-pemain terbaik dunia yang berada di Jepun, ia membolehkan saya lebih maju sebagai pemain.

“Kontrak saya akan tamat di hujung musim 2018-2019. Selepas itu kita akan lihat bagaimana, saya pasti akan kekal jika ditawarkan kontrak baharu.”

Dinesvaran berkata buat masa sekarang tugasnya bersama Jubilo masih belum selesai, di mana dia belum pernah memenangi liga domestik walaupun beberapa kali di ambang menjuarainya. Paling hampir adalah ketika muncul naib juara pada musim 2016-2017.

Pada aksi semalam, Jubilo tewas 49-7 kepada juara bertahan, Suntory Sungoliath dalam saingan separuh akhir pertandingan 2017-2018 dan dijadualkan menentang Toyota Verblitz pada penentuan tempat ketiga 13 Januari ini.

“Kami sentiasa memiliki skuad terkuat sejak beberapa tahun lalu dan mampu mencabar kejuaraan., tetapi kerap kali keadaan tidak menyebelahi kami. Tahun lalu, kami mengalami beberapa masalah kecederaan ketika saat getir dan kali ini saya pula cedera,” kata Dinesvaran yang tangannya patah 24 Disember lalu dan dijangka mengambil masa lima bulan untuk pulih.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 January 2018 @ 9:49 PM