COUTINHO tak sabar beraksi di depan penyokong Barca. FOTO/AFP
AFP

BARCELONA: Philippe Coutinho menyifatkan perpindahannya dari Liverpool ke Barcelona bagaikan ‘impian menjadi nyata’ selepas tiba di Nou Camp buat kali pertama menjelang sesi pengenalan rasmi hari ini.

“Peminat Barca, saya berada di sini sekarang. Ia bagaikan impian menjadi nyata! Saya harap dapat berjumpa anda esok (hari ini),” kata Coutinho, yang akan diperkenalkan kepada penyokong hari ini, dalam video pendek yang dimuat naik Barcelona.

Pemain berusia 25 tahun itu bergaya di depan jurukamera di Nou Camp dengan pakaian sukan rasmi kelab itu sehari selepas Barcelona mengesahkan kontrak 160 juta euro (RM769 juta) untuk membelinya.

Ia adalah pembelian ketiga termahal dalam sejarah bola sepak dan mencatat rekod kelab buat Barcelona.

Dia dijangka menandatangani kontrak secara rasmi pada jam 12.30 tengahari waktu tempatan (7.30 malam), dengan penampilan di Nou Camp dan sidang media juga dijangka pada hari sama.

“Kini saya mahu bermain, menang trofi dan menggembirakan penyokong. Itu objektif saya,” kata Coutinho kepada Barca TV.

Pemain Brazil itu menandatangani kontrak hingga 2023 dan tidak sabar bergandingan dengan Lionel Messi, Luis Suarez dan Andres Iniesta, pemain yang dianggapnya sebagai ‘idola’.

Coutinho pernah bermain bersama Suarez selama 18 bulan di Liverpool sebelum pemain Uruguay itu menyertai Barca pada 2014.

“Semua orang tahu mengenai kualiti yang dimilikinya. Dia bermain pada tahap tertinggi sejak bertahun lamanya dan itu amat penting,” kata Suarez kepada Barca TV mengenai pemain baru itu.

“Kini kami perlu pastikan dia berasa bagaikan di rumah sendiri kerana kami sedar, bertukar kelab bukan sesuatu yang mudah tapi saya fikir dia mampu menyesuaikan diri dengan pasukan.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 January 2018 @ 10:06 AM