DESPRES menamatkan saingan dengan kelebihan 27 saat. FOTO/AFP
DESPRES menamatkan saingan dengan kelebihan 27 saat. FOTO/AFP
Reuters

PISCO, Peru: Pemandu Perancis, Cyril Despres meletakkan Peugeot di depan dalam saingan Rali Dakar hari ini ketika pasukan pengeluar dari Perancis itu menebus kekecewaan pusingan awal di kawasan bukit pasir di Pisco, Peru.

Despres, juara lima kali dalam acara motosikal, merampas kedudukan pendahulu kategori kereta daripada pelumba Qatar, Nasser al-Attiyah yang memenangi peringkat pertama di Lima.

Despres menamatkan saingan dengan kelebihan 27 saat berbanding rakan senegara, rakan sepasukan dan juara bertahan Stephane Peterhansel, yang memburu gelaran Dakar ke-14.

Peugeot menyapu bersih kedudukan podium pada peringkat kedua dengan juara rali dunia sembilan kali Sebastian Loeb di tempat ketiga selepas mengalami masalah brek semalam.

Pelumba Afrika Selatan, Giniel de Villiers di tangga ketiga keseluruhan buat Toyota, bagaimanapun ketinggalan lima minit 44 saat di belakang Despres.

Al-Attiyah yang memandu Toyota dan memiliki handikap pada peringkat awal perlumbaan sejauh 267 kilometer itu, berdepan kesukaran di Pisco tanpa jejak kesan tayar motosikal kali ini dan rakan pemandu dari Perancis, Matthieu Baumel pula tidak sihat ketika mengharungi peringkat perlumbaan yang memerlukan pengemudian lebih berhati-hati.

Pelumba Qatar itu jatuh ke tangga kelima keseluruhan, 12 minit 15 saat di belakang pendahulu.

“Ia tidak mudah. Matthieu benar-benar sakit selepas 15 kilometer pemanduan dan kami perlu menjaganya,” kata juara dua kali itu.

“Kami gembira dapat menamatkan perlumbaan. Esok kami akan mengharungi jalan yang lebih baik. Jika kami bermula di posisi yang baik, saya fikir tiada masalah.”

Peringkat ketiga sejauh 296 kilometer esok akan membabitkan laluan dari Pisco ke selatan iaitu bandar pesisiran pantai San Juan de Marcona.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 January 2018 @ 11:17 AM