Nadal pada sesi latihan menjelang Terbuka Australia di Rod Laver Arena di Melbourne, Australia, minggu depan. Foto AFP
Nadal pada sesi latihan menjelang Terbuka Australia di Rod Laver Arena di Melbourne, Australia, minggu depan. Foto AFP
AFP

MELBOURNE: Rafael Nadal dan Novak Djokovic akan memanfaatkan kejohanan Klasik Kooyong bermula esok sebagai hentian kecemasan terakhir kedua-dua pemain yang baru pulih daripada kecederaan menjelang Terbuka Australia.

Belum pernah lagi sejak era Andre Agassi dan Pete Sampras hampir dua dekad lalu dan terkini Roger Federer, perlawanan pertunjukan itu mempertaruhkan ramai pemain handalan.

Edisi kali ini akan mengetengahkan lima daripada 10 pemain terbaik dunia termasuk naib juara Pusingan Akhir Jelajah ATP dan juara Kooyong, David Goffin, pemain Austria, Dominic Thiem, Marin Cilic (Croatia) dan Pablo Carreno Busta (Sepanyol).

Di bawah peraturan khas, Nadal dan Djokovic akan beraksi dalam perlawanan latihan.

Pemain nombor satu dunia Nadal yang terlepas kejohanan pemanas badan Antarabangsa Brisbane berikutan kecederaan lutut hanya akan tampil sekali esok apabila menentang pemain Perancis, Richard Gasquet.

Djokovic, yang tidak beraksi secara kompetitif sejak kecederaan siku yang memaksanya meninggalkan Wimbledon pada suku akhir Julai lalu, akan menentang Thiem, Rabu ini.

“Penyertaan Novak dan Rafa mengubah jadual perlawanan kami yang akan berlangsung dalam tempoh empat hari, namun inilah kejohanan Kooyong yang membantu pemain bersiap sedia untuk ke Terbuka Australia,” kata pengarah kejohanan Peter Johnston.

Aksi pemain wanita, yang dianjurkan buat kali kedua selepas diperkenalkan tahun lalu membabitkan juara baru Piala Hopman, Belinda Bencic dari Switzerland, pemain Jerman, Andrea Petkovic, pemain remaja Australia, Destanee Aiava dan bintang remaja China, Wang Xinyu.

Pat Cash, juara Terbuka Australia 1987 yang kini membimbing pemain Amerika Syarikat, CoCo Vandeweghe dan bertindak sebagai duta acara itu berkata, ia satu persiapan yang baik buat Djokovic dan Nadal.

“Pastinya ia minggu yang mengujakan untuk sukan tenis. Kedua-dua pemain membuat persiapan tapi mengalami masalah. Apabila ia berlaku beberapa minggu sebelum Terbuka Australia, ia agak membimbangkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 January 2018 @ 12:59 PM