Menteri Besar Negeri Sembilan, Mohamad Hasan berucap pada sidang media sempena Perhimpunan Pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan di Wisma Negeri, Seremban. Foto IQMAL HAQIM ROSMAN
Mohd Amin Jalil


PEMBENTUKAN skuad mantap menerusi gandingan pemain import berwibawa dan tempatan berpengalaman, mampu meletakkan Negeri Sembilan di landasan terbaik untuk memberikan saingan sengit pada saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

Keyakinan itu diluahkan Menteri Besar merangkap Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS), Datuk Seri Mohamad Hasan, yang menyifatkan ada peningkatan prestasi dipamerkan skuad terbabit, biarpun pemain tempatan mula menjalani latihan awal Disember lalu.

Beliau berpuas hati dan melahirkan keyakinan terhadap kekuatan Hobin Jang Hobin selepas menyaksikan sendiri perlawanan pramusim skuad bimbingan Jorg Peter Steinnebrunner di Kemboja.

“Pemain import yang kita ambil kali ini dilihat ada kelas tersendiri dan mereka sudah menunjukkan prestasi baik dalam perlawanan pramusim di Kemboja itu.

“Saya sendiri sudah menyaksikan permainan pemain import ini dan yakin mereka boleh membantu dalam membentuk kekuatan baharu kepada pasukan.

“Saya harap pemain tempatan cepat sesuaikan diri dengan mereka (pemain import) supaya pasukan sedia berdepan cabaran Liga-M dengan lebih yakin.

“Melihat kepada kombinasi dipamerkan dalam perlawanan itu, saya yakin Negeri Sembilan boleh bersaing dan mengharungi cabaran Liga-M musim ini dengan baik,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri, di Wisma Negeri, di sini, hari ini.

Negeri Sembilan yang akan bersaing dalam Liga Super, melengkapkan kuota lima pemain import mereka dengan membawa masuk Madhu Mohana (Singapura) dan Renars Rode (Latvia) yang beraksi di posisi pertahanan.

Tiga lagi pemain import yang masing-masing beraksi di posisi tengah dan penyerang ialah Kim Do-Heon (Korea Selatan), Flavio Beck Junior (Brazil) dan Nicholas Leandro Velez dari Argentina.

Skuad Rusa kini masih berada di Kemboja, turut mendapatkan khidmat pemain berpengalaman tempatan antaranya, Mohd Rizal Fahmi Ab Rosid, Mohd Fauzan Dzulkifli, Muhammad Aiman Mohd Khalidi, Mohd Aizulridzwan Razali dan Mohd Khairul Izuan Rosli.

Mohamad berkata, pihaknya tidak mahu memberikan tekanan kepada pemain skuad berkenaan dengan meletakkan sasaran terlalu tinggi musim ini, tetapi mahu mereka memperagakan aksi mantap dan konsisten sepanjang musim.

“Selalunya saya letak KPI (petunjuk prestasi utama) yang tinggi, tetapi memadai jika Negeri Sembilan dapat berada dalam lima kelompok terbaik carta Liga Super selain menjulang satu piala sama ada Piala FA, Piala Malaysia atau liga.

“Mendapatkan trofi Liga Super mungkin sukar kerana kita baharu saja kembali dalam saingan ini, malah banyak lagi pasukan lain dilihat lebih berwibawa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 January 2018 @ 2:49 PM