NAMA Wendy tetap disenarai ke Komanwel biarpun keputusan kes dopingnya masih belum diputuskan. Foto file
Jumiati Rosly


BIARPUN keputusan kes doping penerjun negara, Wendy Ng masih belum diputuskan, Persatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) tetap menyenaraikan nama penerjun itu ke Sukan Komanwel di Gold Coast, April depan.

Penolong Setiausaha ASUM, May Tan bagaimanapun mengakui pihaknya belum pasti mengenai peluang penyertaan Wendy ke temasya kedua terbesar dunia itu.

“Kami sudah membuat rayuan kepada Persatuan Renang Antarabangsa (FINA).

“Jadi, kami sedang menunggu keputusan mereka (FINA). Namun, Wendy berada dalam senarai ke Gold Coast,” katanya selepas mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) di sini hari ini.

Dua pingat emas acara 3 meter papan anjal individu dan seirama yang diraih Wendy pada Sukan SEA Ogos lalu ditarik balik selepas penerjun itu didapati positif menggunakan bahan terlarang sibutramine.

Bagaimanapun, keputusan sesi pendengaran penerjun itu masih belum diputuskan FINA.

Berdasarkan rekod kes doping membabitkan sibutramine sebelum ini, atlet dikenakan hukuman penggantungan yang pendek seperti atlet wushu negara, Tai Cheau Xuen apabila hanya dikenakan penggantungan empat bulan.

Dan sekiranya Wendy dikenakan hukuman penggantungan kurang enam bulan, ini bermakna penerjun itu boleh beraksi di Gold Coast.

Selain Wendy, ASUM menyenaraikan 12 lagi penerjun ke Gold Coast, sementara 14 penerjun disenaraikan ke Sukan Asia di Indonesia.

Sementara itu, May mengesahkan jurulatih terjun dari Australia, Christian Brooker sudah berada di sini.

“Dia sudah berada di sini. Namun, dia belum lagi memulakan tugas secara rasmi kerana masih menunggu permit kerjanya,” katanya.

Katanya, jurulatih itu juga disenaraikan untuk ke Sukan Komanwel namun itu semua tertakluk kepada permit kerjanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 January 2018 @ 4:43 PM