BEKAS penjaga gol hoki negara, S Kumar. Foto file
Jumiati Rosly


KHIDMAT penjaga gol berpengalaman, S Kumar tetap ditagih menjelang saingan Sukan Komanwel, Gold Coast pada April ini biarpun tonggak utama skuad negara itu kini digantung apabila didapati positif ujian doping, pada Disember lalu.

Penolong jurulatih skuad hoki lelaki negara, Muhamad Amin Rahim berkata, nama Kumar tetap ada dalam senarai panjang pemain yang akan membawa cabaran negara ke Gold Coast.

“Kita masih menunggu tarikh untuk sesi pendengaran daripada Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) dan kita berdoa serta berharap agar tempoh pengantungannya dipendekkan.

“Sekurang-kurangnya kalau dia terlepas ke Sukan Komanwel, kita harap dia dapat ke Sukan Asia di Indonesia,” katanya selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) di sini, hari ini.

Katanya, kehadiran Kumar dalam temasya itu nanti adalah penting kerana penjaga gol berkenaan adalah watak penting skuad negara berdasarkan pengalaman serta prestasinya di kejohanan utama antarabangsa.

Dalam perkembangan berkaitan, Amin berkata, skuad hoki lelaki dan wanita negara memohon kepada MOM supaya senarai akhir nama 18 pemain untuk ke Sukan Komanwel ditangguhkan sehingga akhir bulan ini, bagi memberi lebih masa kepada jurulatih untuk menyenaraikan pemain terbaik.

“Ketika ini pun sedang berlangsung Liga Hoki Malaysia, kita harapkan tiada pemain mengalami kecederaan serius,” katanya.

Amin berkata, Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) masih belum menetapkan sasaran secara khas untuk Sukan Komanwel, namun secara realistiknya dia merasakan pasukan lelaki negara mampu berada di kelompok empat terbaik.

“Secara realistiknya, kita kena berada di kelompok empat terbaik atau mara ke separuh akhir kerana ada negara kuat lain seperti Australia, England dan India yang turut beraksi di temasya ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 January 2018 @ 6:03 PM