SIVASANGARI mengetuai dominasi negara dalam acara wanita Kejohanan Remaja Terbuka British di Birmingham. Foto file
Devinder Singh


PENEKANAN sukan skuasy terhadap program pembangunan akar umbi tampak mula membuahkan hasil lumayan apabila Malaysia berjaya membolot empat gelaran utama pada Kejohanan Remaja Terbuka British di Birmingham, semalam.

Skuad remaja negara memenangi empat gelaran dalam kategori wanita bermula daripada Bawah-13 hingga 19 tahun, menerusi persembahan cemerlang K Sehveetrraa, Aira Azman, Aifa Azman dan S Sivasangari.

Ia adalah kemenangan terbesar negara dalam kejohanan remaja paling berprestij itu, untuk mengumpul keseluruhan 21 gelaran sejak 1994.

Pengarah Kejurulatihan Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM), Mejar (B) S Maniam berkata, pujian hari diberikan di atas kejayaan menyamai pencapaian kuasa besar Mesir, yang turut menjulang empat gelaran pada edisi kali ini menerusi program pembangunan akar umbi yang baik.

“Kejayaan ini membuktikan terdapat banyak program pembangunan akar umbi dijalankan SRAM di peringkat negeri, selain ia mempunyai struktur yang baik,” kata Maniam.

“Masih terlalu awal untuk kita bercakap mengenai kejayaan masa depan kerana macam-macam boleh berlaku sebelum pemain remaja ini beralih ke peringkat senior.

“Tetapi sekurang-kurangnya program pembangunan kami berada pada landasan yang betul,” katanya.

Pemenang Terbuka Malaysia 2017, Sivasangari mengetuai dominasi negara dalam acara wanita selepas mengatasi pemain Jepun Satomi Watanabe 12-10, 11-7, 11-9 dalam aksi final B-19.

Aifa semakin hampir menyamai pencapaian Nicol David menjulang ke semua lima gelaran di Terbuka British apabila melengkapkan penguasaan hatrik dengan memenangi kategori B-17.

Sementara adiknya pula, Aira melakar kejutan dalam kategori B-15 untuk menjulang gelaran sulungnya di Birmingham.

Sehveetrraa menandakan kemunculan sulungnya dalam kejohanan ini dengan menjuarai B-13, pemenang keempat Malaysia dalam kategori itu yang diperkenalkan sejak 2006.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 January 2018 @ 6:59 PM