WENGER (kanan) sempat melayani peminat. FOTO/AFP
AFP

LONDON: Pengurus Arsenal, Arsene Wenger yang berang dengan prestasi pasukan memberi amaran sedia merekrut pemain baru menjelang perlawanan separuh akhir Piala Liga menentang Chelsea, esok.

Ini susulan kekalahan memalukan Gunners di tangan kelab divisyen dua, Nottingham Forest 4-2 dalam aksi pusingan ketiga Piala FA, kelmarin.

Kekalahan pada peringkat itu juga adalah yang pertama buat Wenger sejak tiba di kelab utara London itu pada 1996.

Keputusan Wenger melakukan sembilan pertukaran itu memakan diri sendiri apabila gagal menyerlah dan menyaingi lawan.

Pengurus dari Perancis itu dilihat lebih mengutamakan aksi pusingan pertama Piala Liga menentang Chelsea di Stamford Bridge dengan mengharapkan kejutan di tempat lawan.

Arsenal juga berkemungkinan gagal layak ke Liga Juara-Juara untuk kali kedua berturut-turut.

Menurut Wenger, Arsenal yang minggu lalu membeli pertahanan Greece, Konstantinos Mavropanos bakal memburu beberapa pemain baru dalam usaha memulih semula reputasi mereka.

WENGER (kiri) bersama Mavropanos. FOTO/AFP

Penyerang Chile, Alexis Sanchez juga bakal dijual kepada Manchester City dan Wenger mengharapkan beberapa muka baru tiba secepat mungkin.

Ketika ditanya jika ada perkembangan baru minggu ini, Wenger berkata “Ya, kerana kami berada di minggu kedua Januari dan selepas itu masa akan berlalu dengan pantas. Kami membeli pemain muda dari Greece yang bagus ketika sesi latihan. Kami tak akan duduk diam dan terus mencari pemain lain.

Wenger sedar untuk mara ke final Arsenal perlu keputusan positif di Stamford Bridge sebelum pusingan kedua berlangsung di Emirate pada 24 Januari.

Bagaimanapun, Gunners yang seri dua kali menentang Chelsea dalam aksi liga tidak pernah menang di kubu lawan itu sejak 2011.

Sesuatu yang boleh membantu anak buah Wenger ialah mengharapkan tuah selepas pengurus Chelsea, Antonio Conte mengakui pemainnya keletihan akibat mengharungi jadual padat perlawanan.

“Apabila anda beraksi setiap tiga hari dan bermain banyak perlawanan, itu bermakna anda menghadapi banyak kejohanan,” kata Conte.

“Esok kami akan menentang Arsenal di separuh akhir dan saya rasa kami berhak ke final. Amat penting ketika ini semua pemain dalam keadaan fizikal terbaik dan semua mesti bersedia,” katanya.

Chelsea memburu slot final Piala Liga sejak menjuarainya pada 2015.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 January 2018 @ 11:51 AM