KUMAR (tengah) perlu memberi hujah kepada panel. FOTO/AFP
Saiful Affendy Sapran
saifulaffendy@nstp.com.my


KONFEDERASI Hoki Malaysia (MHC) yakin penjaga gol skuad hoki negara, S Kumar dapat memberikan hujah meyakinkan pada panel sesi pendengaran berhubung kes positif doping membabitkan dirinya sekali gus membuka peluang kepada penjaga gol berusia 38 tahun itu untuk diringankan hukuman.

Masih menunggu tarikh sebenar sesi pendengaran itu, Presiden MHC, Datuk Seri Subahan Kamal berkata, pihaknya juga yakin Kumar bukan di pihak bersalah.

“Saya sendiri tak berani nak komen lebih lanjut berhubung kes doping membabitkan Kumar kerana ini adalah satu penemuan yang dibuat oleh FIH (Persekutuan Hoki Antarabangsa).

“Suka tak suka kita kena hormati keputusan mereka. Tapi dalam masa sama, saya amat yakin bahawa Kumar memang tidak bersalah.

“Biarlah dia diberi peluang memberikan hujah-hujahnya pada sesi perbicaraan nanti,” katanya.

Jelas Subahan, beliau menyerahkan sepenuhnya kepada FIH untuk membuat keputusan membabitkan Kumar yang kini berdepan penggantungan sementara selama dua tahun.

“Tapi seperti yang sering saya katakan sebelum ini, biarlah keputusan itu akan lebih memihak kepada Kumar kerana skuad kebangsaan amat memerlukannya,” katanya.

Kumar mengejutkan arena hoki tempatan apabila didapati positif menggunakan bahan terlarang sibutramine ketika beraksi di saingan Piala Asia di Dhaka, Bangladesh, Oktober tahun lalu.

Penjaga gol negara yang sudah melakukan 295 penampilan itu mempamer aksi cemerlang sehingga membantu Malaysian Tigers mara ke final sebelum tewas kepada gergasi Asia, India.

Kumar ketika ini berdepan hukuman penggantungan selama dua tahun yang menyaksikannya tidak boleh terbabit langsung dengan aktiviti hoki sekali gus berdepan kemungkinan tidak dapat diturunkan untuk beberapa kejohanan besar bersama skuad negara sepanjang tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 January 2018 @ 12:49 PM