KUMAR pada sidang media mengenai isu disahkan postif ujian doping sewaktu beraksi dalam Piala Asia 2017, Oktober lalu. Foto file
Saiful Affendy Sapran
saifulaffendy@nstp.com.my


PENJAGA gol skuad hoki negara, S Kumar perlu bersedia memberikan bukti serta hujah meyakinkan apabila dipanggil pada sesi pendengaran Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) dalam usaha meringankan hukuman ke atasnya selepas positif ujian doping.

Penolong Pengarah Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS), Nishel Kumar berkata, kesemua bukti dan hujah akan menjadi pertimbangan untuk meringankan hukuman penggantungan sementara dua tahun yang dilaluinya ketika ini.

Kumar didapati positif menggunakan bahan terlarang sibutramine oleh Agensi Anti-Doping Dunia (WADA) pada kempen Piala Asia di Dhaka, Bangladesh, Oktober lalu.

“Pertama sekali bahan sibutramine itu tidak serius seperti penggunaan bahan lain seperti steroid. Ia bahan yang tidak ada kena mengena dengan tujuan meningkatkan prestasi.

“Apabila Kumar sendiri menyatakan dia tidak sengaja mengambil bahan itu, maka dia perlu buktikan bagaimana bahan itu boleh masuk ke dalam badannya.

“Jadi, sekarang nasihat saya kepada Kumar ialah dia perlu memberi bukti yang jelas,” katanya.

Jelas Nishel, atlet wushu negara, Tai Cheau Xuen pernah berdepan situasi sama seperti Kumar apabila positif sibutramine yang akhirnya dia hanya dikenakan hukuman penggantungan empat bulan.

“Sebab dia dapat buktikan membeli bahan itu menerusi dalam talian dan terkandung di dalam badannya,” katanya.

Nishel berkata, keputusan Kumar tidak mencabar sampel B, sebaliknya mahu terus membela diri pada sesi pendengaran, satu keputusan yang wajar.

“Ramai beranggapan apabila tidak mencabar sampel B, atlet itu seolah-olah mengakui kesalahan yang mereka lakukan.

“Sebenarnya, ia untuk mempercepatkan proses sesi pendengaran. Apapun, setiap atlet mempunyai hak untuk mencabar sampel B,” katanya.

Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Seri Subahan Kamal yakin Kumar dapat memberikan hujah meyakinkan pada sesi pendengaran yang masih belum diputuskan tarikhnya lagi oleh FIH.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 January 2018 @ 2:42 PM