X
TOMIC tidak mempunya hubungan baik dengan badan induk tenis Australia. FOTO/AFP
TOMIC tidak mempunya hubungan baik dengan badan induk tenis Australia. FOTO/AFP
AFP

MELBOURNE: Pemain bermasalah, Bernard Tomic yang dinafikan tiket wild card Terbuka Australia minggu depan berkata, dia tidak mengharapkan sebarang bantuan tetapi tekad mempamerkan aksi terbaik dalam pusingan kelayakan untuk ke undian utama di hadapan penyokong sendiri.

Pemain berusia 25 tahun itu pernah dilabel bintang masa depan tetapi rankingnya merudum ke tangga 142 dunia selepas musim mengecewakan tahun lalu. Sejak itu dia mengakui mula bosan dengan tenis dan gagal memberi aksi terbaik dalam setiap perlawanan disertainya.

Tomic terlepas tiket wild card Terbuka Australia selepas gagal menyertai aksi play off pada Disember lalu dan tidak menghiraukan kem latihan kendalian Lleyton Hewit, bekas mentornya.

Tomic kini perlu menang tiga perlawanan kelayakan ‘sudden death’ minggu ini untuk layak ke undian Terbuka untuk tahun ke-10 berturut-turut.

“Saya tak akan bercakap apa-apa (mengenai wild card),” katanya kepada wartawan selepas tewas straight set di pusingan pertama Kooyong Classic di tangan pemain ke-169 dunia dari Jepun, Yoshihito Nishioka.

“Itu pandangan mereka dan saya tak perlukan bantuan Tenis Australia untuk mencapai kejayaan dalam karier saya. Bagi saya itu bukan masalah besar.”

Tomic tidak mempunya hubungan baik dengan badan induk tenis Australia itu. Tahun lalu dia mengakui tidak sayang sukan itu dan tenis dianggap pekerjaan dan dia terperangkap.

Pada November lalu, Pengarah Terbuka Australia, Craig Tiley menawarkan bantuan untuk memulihkan semula reputasi dan karier Tomic tetapi tiada sambutan dari pemain itu.

Tomic menganggap perlawanan menentang Nishioka adalah latihan yang baik bagi menilai kemampuannya sekarang.

“Saya tidak bermain tenis secara serius sejak enam bulan lalu dan prestasi pada perlawanan itu baik untuk saya. Saya perlukan lebih banyak perlawanan selepas ini.”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 January 2018 @ 2:56 PM