Baihakki (tengah) pernah beraksi bersama JDT dan  Lions XII. Foto file
Baihakki (tengah) pernah beraksi bersama JDT dan Lions XII. Foto file
Devinder Singh


PERTAHANAN Singapura, Baihakki Khaizan dijangka kembali ke negara ini untuk menyertai pasukan Liga Super, Kuala Lumpur.

Baihakki, 33, dijangka tiba di ibu negara esok bagi menandatangani perjanjian bersama pasukan yang baharu naik taraf itu selepas menolak tawaran kontrak empat bulan bersama pasukan divisyen dua Arab Saudi, Jeddah Club.

Prospek bermain sepenuh musim bersama City Boys menjadi faktor Baihakki memilih skuad kendalian Fabio Maciel dan memenuhi kuota import ASEAN pasukan itu.

“Kami sudah hampir memuktamadkan perbincangan dengan Baihakki dan dia dijangka tiba esok untuk menandatangani perjanjian,” kata Setiausaha Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur, Nokman Mustaffa, hari ini.

Baihakki akan menjadi pemain Singapura pertama bermain buat Kuala Lumpur sejak Fandi Ahmad, K Kannan dan Malek Awab pada sekitar 1980-an.

Dia dijangka tiba tepat pada masanya untuk bersama skuad Maciel yang akan ke Yogyakarta, Indonesia bagi mengharungi tiga perlawanan persahabatan.

Bekas pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Lions XII itu melengkapkan pencarian Maciel bagi mendapatkan pertahanan tengah dan lima pemain import.

Baihakki beraksi dengan pasukan Liga-S, Warriors musim lalu dan kali terakhir bermain dalam Liga Super buat Lions XII pada 2014 ketika dipinjamkan dari JDT.

Dia kembali ke JDT tetapi kemudian bermain bersama JDT II dalam Liga Perdana bagi dua musim berikutnya.

Maciel berkata, pengalaman Baihakki dan pengetahuannya mengenai bola sepak Malaysia memberi kelebihan.

“Saya mengenalinya, dia pernah bermain dengan JDT dan dia juga banyak pengalaman dalam bola sepak antarabangsa,” kata Maciel yang mengemudi kejayaan Kuala Lumpur menjuarai Liga Perdana musim lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 January 2018 @ 3:07 PM