YEE Khie bertekad untuk menghadiahkan pingat buat negara di Sukan Komanwel. Foto file


ATLET angkat berat para negara, Jong Yee Khie, mampu mencipta kejutan apabila beliau dijangka beraksi dalam acara powerlifting kategori heavywieght 72 kilogram (kg) ke atas di Sukan Komanwel di Gold Coast, Australia, April ini.

Presiden Persatuan Powerlifting Para Malaysia (PPPM), Kamaruzaman Kadir, berkata biarpun Yee Khie bertanding dalam kategori 72 kg ke atas namun beliau dijangka tidak menghadapi masalah besar untuk sekurang-kurangnya mempertahankan pingat gangsa pernah dimenanginya di Sukan Komanwel Glasgow 2014.

Kamaruzaman berkata pihaknya sedang melakukan kajian terperinci bagi menentukan warna sebenar pingat yang akan diletakkan ke atas atlet powerlifting negara itu di Sukan Komanwel 2018 nanti.

Katanya, antara aspek yang bakal dikaji termasuk kemampuan Yee Khie untuk melakarkan kejutan, kemampuan dan saingan dari atlet negara lain terutama jumlah angkatan terbaik mereka.

“Bagaimanapun, saya percaya insya Allah, Yee Khie bukan hanya setakat mampu mengulangi kejayaan di Glasgow, malah boleh mencipta kejutan di Gold Coast, April nanti,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Yee Khie perlu bertanding dalam acara itu di Sukan Komanwel Gold Coast selepas penganjur memutuskan hanya akan menganjurkan dua acara powerlifting iaitu kategori heavyweight 72kg ke atas dan lightweight 72kg ke bawah.

Ketika ini, Yee Khie kini menduduki ranking kelapan terbaik dunia dalam acara powerlifting kategori bawah 97kg selepas kejayaan mengangkat beban seberat 208kg di Kejohanan Powerlifting Dunia di Maxico City, Maxico, pada 7 Disember lalu.

Tambahan pula, pesaing utama Yee Khie iaitu atlet para dari Nigeria, Abdulazeez Ibrahim yang menang emas dalam acara powerlifting 72kg ke atas di Glasgow kini mengalami kecederaan dan bermungkinan besar tidak menyertai Sukan Komanwel 2018.

Prestasi pemenang pingat perak dari India, Rajinder Rahelu, pula didapati kurang memuaskan ketika ini berbanding Yee Khie yang menduduki tangga ke-7 dalam kejohanan Piala Dunia Powerlifting di Dubai, baru-baru ini.

Sebelum ini Yee Khie menyumbang pingat gangsa dalam acara powerlifting kategori heavyweight 72.1 kilogram (kg) lelaki di Sukan Komanwel 2014 selepas beliau melakukan angkatan 178kg.

Manakala, pingat emas acara itu dimenangi Abdul Azeez Ibrahim dari Nigeria dengan angkatan 197kg manakala perak menjadi milik Rajinder Rahelu dari India, 180.5kg.

Kejayaan itu nyata membakar semangat Yee Khie untuk menang emas acara powerlifting kategori 97kg di Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017) pada Ogos lalu selepas memperbaharui rekod kejohanan dua kali dengan mengangkat bebanan 202kg pada percubaan pertama dan 210kg (kedua) untuk mengatasi catatan 200kg di Singapura tiga tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 January 2018 @ 6:04 PM