DJOKOVIC menewaskan pemain nombor lima dunia, Dominic Thiem 6-1, 6-4 di Kooyong Classic. Foto AFP
DJOKOVIC menewaskan pemain nombor lima dunia, Dominic Thiem 6-1, 6-4 di Kooyong Classic. Foto AFP
AFP

MELBOURNE: Novak Djokovic yang kembali daripada ‘rehat’ enam bulan ekoran kecederaan siku menyifatkan kemunculan semulanya sebagai sesuatu yang hebat apabila menewaskan pemain nombor lima dunia, Dominic Thiem 6-1, 6-4 di Kooyong Classic.

Pemain Serbia yang juga juara Grand Slam 12 kali itu nyata berada pada prestasi terbaik dan tampil dengan penuh keyakinan selepas kali terakhir beraksi ketika tewas kepada Tomas Berdych di suku akhir Wimbledon.

“Saya rasa cukup hebat dan saya mahu kembali ke gelanggang,” katanya.

“Saya berdepan lawan yang bagus dan itu adalah ujian buat saya untuk mengetahui prestasi saya berada pada tahap mana, adakah apa yang kami usahakan selama ini menjadi. Semuanya berjalan lancar.”

Bekas pemain nombor satu dunia itu kini memburu kejuaraan Terbuka Australia buat kali ketujuh, minggu depan.

Namun keputusannya menarik diri daripada aksi pemanas badan di Abu Dhabi menimbulkan kebimbangan mengenai perkembangannya, sama ada bersedia atau tidak untuk menghadapi Terbuka Australia.

“Terdapat sedikit keraguan terutamanya selepas saya menarik diri daripada kejohanan pada minggu pertama tahun ini.

“Secara peribadi saya tidak tahu apa yang akan berlaku. Saya harap dalam tempoh empat atau lima hari selepas ini, segalanya sudah berada dalam keadaan sedia untuk menghadapi Terbuka Australia,” kata Djokovic.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 January 2018 @ 6:47 PM