DAVIES (kiri) mahu rakan sepasukan kekal positif walaupun kecewa dengan aksi menentang Iraq. -Foto Agensi
Daripada Aziman Rosdi di Changshu dan China
aziman@nstp.com.my


KEKALAHAN besar 1-4 kepada Iraq pada aksi pertama semalam jelas menyukarkan laluan skuad negara dalam misi melepasi halangan Kumpulan C Kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) Bawah 23 (B-23) Tahun di Changshu, China.

Tiada jalan lain, skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee perlu mendapatkan mata dalam aksi seterusnya menentang Jordan, Sabtu ini sebelum berdepan Arab Saudi pada perlawanan terakhir kumpulan pada Selasa.

Pemain pertahanan, Matthew Davies bagaimanapun menggesa rakan sepasukan terus kekal positif biarpun kecewa dengan persembahan menentang Iraq.

“Kami kecewa kerana dibolosi gol dengan mudah tapi pada masa sama kita tak boleh menyalahkan sesiapa dan perlu bersama-sama memikul beban ini.

“Ya, memang mengecewakan apabila bolos dengan cara itu, tapi kami perlu perbaiki segera kelemahan ini untuk perlawanan seterusnya,” katanya hari ini.

Beberapa kesilapan individu jelas mengundang padah apabila mudah dihukum juara 2013 itu sekali gus meranapkan impian skuad negara untuk mendapatkan sekurang-kurangnya satu mata pada perlawanan pertama.

Bagaimanapun, Davies, 22, antara pemain yang menyerlah dalam perlawanan itu apabila kerap membantu Dominic Tan di sebelah kanan serta melakukan larian ke atas untuk melancarkan serangan.

Namun, tugas sukar juga menanti skuad negara apabila turun beraksi menentang Jordan selepas pemenang tempat ketiga pada edisi 2013 membuktikan mereka bukan calang-calang pasukan apabila mengikat naib juara, Arab Saudi 2-2 semalam.

“Kita perlu bersikap realistik. Jika mahu keputusan baik, saya harap kami kekal positif, bersemangat, berikan aksi terbaik dan mungkin boleh lakukan kejutan bagi mendapatkan keputusan baik dengan Jordan nanti,” kata kapten Pahang itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 January 2018 @ 3:32 PM