CHRISTIAN BROOKER
Fadhli Ishak


JURULATIH skuad terjun kebangsaan yang baharu, Christian Brooker bertekad mengembalikan kestabilan dan meningkatkan lagi kualiti pasukan berkenaan yang dihimpit dengan pelbagai kontroversi sebelum ini.

Brooker dilantik untuk membantu jurulatih sementara, Zhang Yukun yang mengambil alih tugas mengendalikan skuad terjun kebangsaan daripada bekas ketua jurulatih, Yang Zhuliang yang tidak disambung kontraknya.

Dia yang pernah berkhidmat bersama Institut Sukan Australia Selatan sebelum ini menandatangani kontrak dua tahun selepas permit kerjanya diluluskan dan kini mahu membina hubungan yang rapat dengan penerjun.

“Saya sudah menyaksikan latihan beberapa minggu dan saya mengakui mereka begitu fokus dan bersemangat tinggi. Situasi ini akan memudahkan lagi tugas saya,” katanya pada sidang media di Bukit Jalil, hari ini.

“Saya mengharapkan hubungan dengan penerjun akan menjadi lebih baik, mendapatkan kepercayaan dan meningkatkan keyakinan mereka supaya mereka dapat memberikan yang terbaik ketika kejohanan.

“Saya akan meneliti semua aspek termasuklah penggunaan sains sukan untuk meningkatkan potensi atlet.

“Saya juga akan bekerjasama dengan pakar psikologi untuk membentuk jati diri penerjun selain menggunakan kekuatan saya sendiri untuk meningkatkan teknik, strategi dan cara mengelak kecederaan supaya latihan dapat mendatangkan hasil yang maksimum.”

Dalam masa sama, jurulatih kelahiran Australia itu menegaskan kehadirannya untuk meningkatkan mutu skuad terjun dengan beliau sama sekali dia tidak akan merosakkan aspek positif yang sudah dicapai penerjun di bawah kendalian Zhuliang.

“Ini adalah satu cabaran kepada saya tetapi saya pernah bekerjasama dengan pasukan yang menggunakan teknik latihan berasaskan falsafah China sebelum ini.

“Perancangan saya untuk menggabungkan sains sukan dan teknik latihan yang sudah digunakan Zhuliang supaya kita dapat mencapai kejayaan untuk jangka masa panjang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 January 2018 @ 7:28 PM