ZAINAL (tengah) akui KOM belum tutup pintu buat atlet luar program Sukan SEA. -Foto fail
Devinder Singh


KESATUAN Olahraga Malaysia (KOM) masih belum menutup pintu buat atlet yang berada di luar program Sukan SEA 2019.

Hanya 28 atlet dikenal pasti untuk Sukan SEA di Filipina di mana segala perbelanjaan latihan dan pertandingan akan ditanggung oleh Majlis Sukan Negara (MSN) dan Insitut Sukan Negara (ISN).

Antara nama besar yang tidak berada dalam senarai adalah pelari pecut negara, Siti Fatima Mohamad dan S Komalam Shally, selepas masing-masing gagal memenuhi kriteria ditetapkan program berkenaan.

Bagaimanapun, ketua jurulatih negara Zainal Abas berkata KOM akan memantau prestasi atlet yang berada di luar program untuk disenaraikan pada masa akan datang.

“Atlet yang memenangi pingat emas dan perak di Sukan SEA secara automatik akan dimasukkan untuk menjalani latihan dan pendedahan di dalam program Sukan SEA 2019,” kata Zainal selepas mesyuarat bersama Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Mohd Khairi Zawi, Pemangku Pengarah Bahagian Atlet MSN, Jefri Ngadirin dan Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Low Beng Choo di Bukit Jalil, hari ini.

“Fatima dan Komalam tidak termasuk kerana mereka tidak memenuhi kriteria. Prestasi Komalam berada di bawah pencapaian pingat perak acara 100m (Sukan SEA).

“Namun atlet ini masih boleh disenaraikan pada masa depan kerana program ini mempunyai tempoh yang masih

panjang. Jika mereka boleh buktikan kemampuan tahun ini, kami akan memantau dan menilai untuk memasukkan mereka.

“Jadi atlet di luar sana, sebagai contoh jika seseorang boleh berlari 10.2 atau 10.3 saat dalam acara 100m, kami akan mempertimbangkan mereka untuk dimasukkan ke dalam program.

“Tidak bermakna jika anda tidak berada di dalam senarai ketika ini, anda tidak boleh berada di dalam program selepas ini. Pintu sentiasa terbuka dan atlet boleh memasukinya pada bila-bila masa.”

Dalam senarai 28 atlet berkenaan, lima daripadanya adalah daripada Program Podium - Nauraj Singh Randhawa (lompat tinggi), Muhammad Irfan Shamsuddin (lempar cakera), Muhammad Hakimi Ismail (lompat kijang), Muhammad Ziyad Zolkefli (lontar peluru para) dan Abdul Latif Romly (lompat jauh para).

Tambah Zainal, atlet muda seperti pelari 400m, Shereen Samson Vallabouy akan dimasukkan ke dalam program Pelapis dan akan dipantau untuk Sukan SEA akan datang.

“Fokus kita adalah atlet yang dikenal pasti untuk Sukan SEA manakala atlet berpotensi di bawah usia 23 tahun akan disyorkan untuk program Pelapis,” katanya.

KOM akan bertemu pegawai MSN dalam mesyuarat jawatankuasa bersama pada 29 Januari ini untuk membincangkan dengan lebih terperinci mengenai program berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 January 2018 @ 10:53 PM