SAFAWI Rasid
Serbegeth Singh

Perlawanan akhir bola sepak Sukan SEA 2017 berlangsung pada 29 Ogos 2017 dan kita gagal memenangi pingat emas. Tetapi, kepada segelintir penyokong pula, kita berjaya memenangi pingat perak! Kita tewas 1-0 kepada pasukan Thailand.

Selepas 135 hari maka tidak kelihatan apa-apa perbezaan kepada persembahan pasukan Bawah 23 termasuk soal prestasi pemain. Pada 10 Januari 2018, kita tewas 1-4 di tangan Iraq di kejohanan AFC Bawah 23 Tahun di China.

Kita tidak menjangkakan kemenangan atau keputusan positif, tetapi prestasi pemain individu menjadi harapan semoga kita boleh bayangkan masa depan bola sepak. Akan tetapi, selepas begitu banyak masa yang berlalu, kita masih kekal atau “stand still” sebagai individu serta berpasukan.

Penjaga gol, Ifwat Akmal yang menjadi pemain simpanan semasa Sukan SEA, diturunkan sebagai pilihan utama dan menunjukkan aksi baik walaupun gol kedua Iraq mungkin dapat ditepis. Persembahannya memberangsangkan dan jelas dia harus kekal di posisi itu.

Pemain bek sayap kanan, Matthew Davies konsisten seperti di Kuala Lumpur dan tidak mengecewakan pada perlawanan pertama di Changshu. Rakan sepasukan dari Pahang, Nor Azam Azih sekali lagi menjadi pemain terbaik kita. Hanya dia yang mempunyai keyakinan serta teknik di bahagian tengah di mana Iraq banyak melakukan asakan.

Pemain tengah itu harus mencuba nasib di luar Malaysia kerana segala-galanya lebih lengkap.

Persembahan Irfan Zakaria serta Adam Nor Azlin kekal seperti di Sukan SEA tanpa perbezaan dengan masih tidak konsisten selama sembilan puluh minit. Ada keselesaan melakukan pertahanan, tetapi masih kurang kemas membuat hantaran ke bahagian tengah atau serangan.

Kita masih ingat betapa Safawi Rasid mementingkan persembahan individu dan di perlawanan pertama AFC Bawah 23 Tahun ini, isu sama masih berlaku. Dia cepat hilang sabar apabila Malaysia ketinggalan. Apa juga corak taktikal disiplin, lebur dan ini memberi tekanan ke atas rakan sepasukan yang lain. Dia tidak membantu pasukan dengan turun ke bahagian tengah untuk menerima bola.

Sebagai pemain, ada tugas dan tanggungjawab serta fungsi tertentu, tetapi kehilangan tumpuan kerana emosi boleh membebankan pasukan. Lebih elok mengekalkan disiplin bertahan dan kekal kedudukan 1-0 sehingga sepuluh minit terakhir. Kemudian kita ambil risiko sama ada terikat 1-1 atau tewas 2-0.

Pemain sayap ini selalunya juga kerap menjaringkan gol di lewat permainan. Mungkin lebih sesuai Safawi menjadi pemain impak yang diturunkan di lewat permainan seperti Akhyar Rashid.

Seperti di Sukan SEA 2017, penyerang Jafri Chew Abdullah memang sibuk di atas padang tetapi tidak memberi impak.

Iraq bukan pasukan yang luar biasa kerana mereka juga kekurangan idea di bahagian serangan walaupun banyak menguasai bola. Pemain Iraq lebih kemas dari segi teknikal serta mempunyai tahap kecergasan yang tinggi.

Pasukan lawan kita seterusnya, Jordan pula agresif serta mempunyai corak permainan yang kemas. Setiap peluang, bola akan ditolak kepada pemain kidal di sayap kanan. Pemain yang menyarung jersi nombor 10 pula lincah dengan kebolehan menggelecek. Sebagai pemain sayap, Mousa Al Taamari begitu berbisa kerana selesa menguasai bola.

Kejayaan menyekat Al Taamari boleh menentukan sedikit keselesaan bagi pasukan kita.

Pasukan Arab Saudi dikejutkan ketika menentang Jordan dan akan menganggap perlawanan menentang Malaysia sebagai satu pertemuan mencari jumlah gol yang besar.

Kita menerima kedudukan bola sepak kita dan jarang mampu memberi tekanan di peringkat antarabangsa. Kita hanya berharap boleh melakukan kejutan dari masa ke semasa dalam perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 January 2018 @ 2:19 AM