LECOMTE (kanan) pamer aksi mantap halang serangan Monaco. -Foto AFP
AFP

PARIS: AS Monaco hanya mampu seri 0-0 tanpa kehadiran Radamel Falcao di Montpellier awal pagi tadi manakala Marseille melakar kemenangan bergaya ke atas Rennes yang meletakkan mereka di landasan kukuh ke Liga Juara-Juara.

Penyerang Colombia, Falcao sekali lagi diketepikan kerana kecederaan otot yang menyaksikannya tidak beraksi pada pertandingan piala nenentang Yzeure dan Nice dan Monaco tidak mampu merobek benteng paling kuat dalam liga tanpa penjaring terbanyak mereka.

Pertahanan kiri Brazil, Jorge dinafikan kehebatan penjaga gol Montpellier, Benjamin Lecomte, yang kemudian bertindak pantas menyelamatkan rembatan kencang Kevin N’Doram sekali gus mencipta perlawanan ke-10 tanpa dibolosi musim ini.

Keputusan seri di Stade de la Mosson menamatkan rentetan empat kemenangan Monaco dalam Ligue 1 namun melonjakkan mereka satu mata di depan Lyon di tangga kedua, sekalipun ketinggalan lapan mata di belakang pendahulu Paris Saint-Germain.

“Seri bukannya keputusan bagus kerana kami hadir untuk meraih tiga mata,” kata jurulatih Monaco, Leonardo Jardim.

“Kami agak kurang menyengat ketika menyerang. Kami cuba lebih kompetitif Selasa ini (di laman sendiri menentang Nice) untuk meraih keputusan lebih baik.”

Florin Thauvin menjaringkan gol kesembilan peribadi musim ini namun turut terlepas penalti ketika Marseille mengalahkan Rennes 3-0 di Roazhon Park.

Sepakan penalti bekas pemain sayap Newcastle itu dinafikan penjaga gol Rennes, Tomas Koubek pada babak pertama namun dia menebus kesilapan itu dengan mencipta gol pembukaan jaringan Valere Germain pada minit ke-35.

Sebaik sebelum rehat, hantaran Germain disudahkan Morgan Sanson sebelum Thauvin melengkapkan jaringan lapan minit sebelum tamat apabila dia menanduk masuk hantaran silang pemain tengah Brazil, Luiz Gustavo.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 January 2018 @ 10:47 AM