HYUN Woo terpaksa lupakan aksi Piala Menteri Besar Terengganu. -Foto fail
Malik Muhamad
sukanteam@nstp.com.my


BELUMPUN saingan Liga Malaysia (Liga M) bermula, khabar duka melanda kem Terengganu FC I (TFC I) apabila pemain importnya, Kim Hyun Woo mengalami kecederaan.

Penyerang berusia 29 tahun yang lebih mesra dipanggil Kim itu mengalami kecederaan lutut ketika turun beraksi menentang Army FC dalam aksi pramusim di Kemboja minggu lalu yang mana TFC I tewas 3-6.

Kini pemain dengan ketinggian 1.85 meter itu yang akan menyarung jersi nombor 9 masih menjalani proses pemulihan berikutan kecederaan itu.

Bekas pemain kesayangan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) FC musim lalu itu dilaporkan tidak dapat beraksi pada saingan empat penjuru Piala Menteri Besar Terengganu bermula esok.

Perkhabaran terbaru itu sedikit sebanyak pasti merencatkan perancangan ketua jurulatih Irfan Bakti Abu Salim sekiranya pemain yang juga pernah beraksi bersama kelab Shan United dalam Liga Myanmar dan Phnom Peng Crown dalam Liga Kemboja itu gagal pulih sepenuhnya sebelum sepak mula liga.

Bagaimanapun penolong jurulatih Mohamad Nik mengakui beliau lega apabila penyerang tinggi lampai dari Seoul itu semakin pulih.

“Tapi dia terpaksa melupakan kejohanan Piala Menteri Besar Terengganu kerana tidak sempat pulih walaupun kecederaan yang dialami tidak begitu serius dan dijangka akan berehat lebih kurang seminggu.

“Dengan perkembangan itu saya yakin dia akan membantu skuad TFC I dalam saingan Liga M bertemu PKNS dalam aksi pertama pada 3 Februari depan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah,” katanya.

Selain Hyun Woo, empat lagi pemain yang beraksi di bahagian serangan adalah pemain import dari England, Lee Tuck, Kipre Tchetche dari Ivory Coast, Ashari Samsuddin dan Malik Mat Ariff.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 January 2018 @ 1:56 PM