FARINA bersama Fatehah Mustapa (kiri) ketika beraksi di Sukan Sea KL2017. Foto fail
Azlan Muhammad Zain

PELUMBA trek negara, Farina Shawati Mohd Adnan meletakkan sasaran mara ke final dalam dua acara di Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) di Velodrom Nasional, bulan depan.

Pelumba yang berpangkalan di Melbourne, Australia berkenaan disenaraikan dalam tiga acara iaitu keirin, pecut individu dan berpasukan.

“Beraksi di tempat sendiri, saya meletakkan sasaran layak ke final dalam dua acara iaitu keirin dan berpasukan wanita,” katanya.

Pelumba kelahiran Selangor berkenaan mendapat pendedahan di pentas antarabangsa sepanjang tahun lalu apabila beraksi di empat siri Piala Dunia.

Walaupun gagal melangkah jauh, penampilannya di siri Piala Dunia Poland, Manchester, Kanada dan Chile mampu memberikannya pengalaman yang berguna selain melakarkan catatan peribadi terbaik.

Bagi saingan wanita elit di ACC, Malaysia turut menyenaraikan pelumba berpengalaman negara, Fatehah Mustapa yang dijadual beraksi dalam empat acara yang dimenanginya di Sukan SEA iaitu 500 meter ujian masa, keirin, pecut individu dan berpasukan.

Turut tersenarai tujuh pelumba lain termasuk pemenang perak acara perlumbaan mata ACC 2016, Jupha Somnet.

Velodrom Nasional akan menjadi tuan rumah edisi ke-38 ACC dari 16 hingga 20 Februari ini, kejohanan antarabangsa kedua selepas menganjurkan Sukan SEA, Ogos tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 January 2018 @ 10:28 PM