BIBI bersama penaja ROHM-Wako Electronics (M) Sdn. Bhd, Presiden Hideki Hashimoto (duduk,kanan), YAKULT (M) Sdn. Bhd. Pengarah Urusan, Hiroshi Hamada (duduk, dua kanan), Pengurus Besar al-ikhsaN Anwar Mamtaj (duduk, kiri) dan pemain Kelantan Ferdinand Sinaga (berdiri, kiri), Bruno Lopes (berdiri, dua kiri) Mohd Badhri Mohd Radzi (berdiri tiga kiri) dan Do Dong Hyun (berdiri, tiga kanan) pada majlis MOU di Hotel Grand Dorsett Subang. Foto SAIFULLIZAN TAMADI
Devinder Singh


Kuala Lumpur: Pasukan yang berdepan masalah kewangan, Kelantan, masih gagal mengumpulkan dana sebanyak RM10 juta diperlukan untuk membiayai pasukan itu bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Walaupun mencapai persetujuan dengan empat penaja semalam, Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Bibi Ramjani berkata badan induk itu masih gagal mencapai mengumpulkan separuh daripada jumlah berkenaan.

“Malah saya menggunakan dana peribadi untuk membayar gaji pemain termasuk gaji bagi Disember kerana tajaan kami terima tidak mencukupi. Tetapi dengan beberapa tajaan yang menanti, ia akan mengurangkan beban yang ditanggung KAFA.

“Dengan penaja bertanggungjawab terhadap perbelanjaan perjalanan dan peralatan, KAFA hanya perlu fokus terhadap bayaran gaji pemain,” katanya selepas majlis penajaan Al-Ikhsan, Yakult dan Rohm Wako Electronics dengan KAFA di sebuah hotel di Subang Jaya, dekat sini, hari ini.

Satu lagi syarikat iaitu Konsortium e-Mutiara tidak hadir.

Mengulas lanjut Bibi berkata, masalah kewangan dihadapi oleh Kelantan itu menjadi punca mereka hanya mampu mengekalkan sebanyak 20 peratus pemain musim lalu.

Biarpun merombak skuad The Red Warriors (TRW), presiden KAFA itu tetap yakin pasukannya mampu menjulang kejayaan dengan sasaran utama bagi menamatkan aksi musim ini dalam kedudukan kelompok lima terbaik Liga Super.

“Kami hanya mengekalkan pemain tempatan yang masih mempunyai kontrak dengan Kelantan selain terpaksa membelanjakan duit bagi mengikat empat pemain import,” katanya.

Bagi kempen 2018, Kelantan terus mengekalkan tonggak import iaitu Margaro Gomis dari Senegal dengan mereka turut memancing dua pemain Brazil, Cassio de Jesus dan Bruno Lopes serta penyerang Indonesia, Ferdinand Sinaga ketika bekas penyerang UiTM, Do Dong-hyun dari Korea Selatan melengkapkan lima kuota import.

Pertahanan Amiridzawan Taj Tajudin kembali memperkuatkan pasukan negeri kelahirannya sejak mula berkelana pada 2015 dengan pemain baharu lain diikat adalah S Veenod (Selangor), Shafiq Shaharudin (Johor Darul Ta’zim II) dan Ahmad Sukri Hamid (PKNS FC.

Kelantan ketika ini menghadapi aksi pramusim dalam saingan Piala Super Boost SportsFix yang turut membabitkan Persija Jakarta dan Ratchaburi di Stadium Nasional, Bukit Jalil sebelum membuka kempen liga di Melaka pada 3 Februari.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 January 2018 @ 8:10 PM