PEMAIN Melaka United, Tiago Filipe Figueiras Gomes (kanan) diasak pemain Pahang FA, Liuba Baranin (kiri) dalam Kejohanan Bola Sepak 4 Penjuru Piala Menteri Besar Terengganu 2018 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. Foto MOHD SYAFIQ RIDZUAN AMBAK
Malik Muhamad


SKUAD Melaka United (MU) menambah duka Pahang apabila menang 4-1 dalam kejohanan empat penjuru Piala Menteri Besar Terengganu di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, sebentar tadi.

Skuad Melaka yang turun dalam aksi pertama bermula garang dengan dua percubaan yang mencemaskan pintu gol skuad Tok Gajah namun berjaya dipatahkan benteng lawan.

Skuad Tok Gajah yang dibimbing Dollah Salleh cuba mengimbangi permainan dengan beberapa percubaan menarik tapi gagal menembusi benteng MU.

Memasuki minit ke-20 bekas pemain Pahang, R Gopinathan yang tidak dikawal berjaya meletakkan pasukannya di depan menerusi rembatan kencang dari dalam kotak penalti.

Selepas jaringan itu MU yang menguasai permainan, terus mengasak untuk memburu jaringan kedua tapi kekebalan penjaga gol, Mohd Remezey Che Ros menggagalkan usaha berkenaan.

Bersambung babak kedua, skuad Tok Gajah lebih agresif dan nyaris menyamakan kedudukan menerusi pemain import, Philip Hellquits namun sedikit melepasi palang gol.

Pada minit ke-49, kapten MU, R Surendran meledak jaringan kedua pasukannya menerusi rembatan kencang sebelum Mohd Fauzi Roslan menambah jaringan ketiga pada minit ke-69.

Selang tiga minit kemudian, pemain gantian Nurshamil Abd Ghani menambah duka Tok Gajah apabila meledak jaringan keempat sebelum pemain lawan, Chan Vathanaka menjaring gol sagu hati pasukannya pada minit ke-85.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 January 2018 @ 11:43 PM