X
AKSI pemain pasukan Tenaga Nasional Berhad (TNB) Muhammad Najib Abu Hassan (kiri) sewaktu diasak pemain TNB Thunderbolt Mohd Sallehin Abdul Ghani (kanan) pada perlawanan Liga Hoki Malaysia 2018 di Stadium Hoki Nasional Kuala Lumpur Sports City. Foto BERNAMA
AKSI pemain pasukan Tenaga Nasional Berhad (TNB) Muhammad Najib Abu Hassan (kiri) sewaktu diasak pemain TNB Thunderbolt Mohd Sallehin Abdul Ghani (kanan) pada perlawanan Liga Hoki Malaysia 2018 di Stadium Hoki Nasional Kuala Lumpur Sports City. Foto BERNAMA
Saiful Affendy Sapran


TENAGA Nasional Berhad (TNB) membuktikan mereka pasukan yang harus diberi tumpuan pada saingan Liga Perdana musim ini apabila melakar kemenangan ketiga berturut-turut dengan menewaskan pasukan ‘adik’ TNB Thunderbolts 3-1, petang tadi.

Kemenangan itu menyaksikan skuad bimbingan Nor Saiful Zaini Nasiruddin meraih sembilan mata maksimum sekali gus memimpin saingan liga.

TNB sebelum ini menewaskan pasukan pilihan, Universiti Kuala Lumpur (UniKL) 3-2 dan Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) 4-2.

Saiful yang juga bekas pemain kebangsaan mengakui barisan pemainnya mempamer aksi meyakinkan sepanjang tiga perlawanan awal.

“Pada awal saingan liga, memang kami tidak menjangkakan mampu meraih tiga mata penuh dalam tiga perlawanan liga.

“Namun, sepanjang berlangsungnya liga, nampak setiap pemain mampu menyesuaikan diri dengan baik antara mereka.

“Ini sebenarnya perlawanan kelima kami termasuk dua daripadanya pada saingan Piala Tan Sri P Alagendra. Jelas sekali kami boleh bermain dengan mana-mana pasukan selepas ini,” katanya selepas perlawanan yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil itu.

Pada perlawanan itu, Norshafiq Sumantri memecah kebuntuan dengan gol padang di minit ke-11, tetapi Muhammad Hazzim Amin Hafidz kembali menyamakan kedudukan untuk Thunderbolt, juga menerusi gol padang (m-19).

Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan kembali meletakkan TNB di depan hasil pukulan sudut penalti pada m-21 sebelum Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal mengesahkan kemenangan TNB dengan menyumbang gol ketiga (m-60).

Sementara itu, di Stadium Hoki Kuala Lumpur, juara liga, KLHC gagal mensia-siakan kelebihan mendahului UniKL 3-0 sebelum akhirnya terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri 3-3.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 January 2018 @ 10:25 PM
Digital NSTP Subscribe