JAZEMAN dan rakan sepasukannya Weiron Tan, Afiq Ikhwan Yazid mengekalkan aksi yang sama di ALMS. Foto fail
Fadhli Ishak
fadhli.ishak@nstp.com.my


SELEPAS pasukannya berjaya melakukan kejutan di Buriram hujung minggu lalu, Jazeman Jaafar berharap mampu mengekalkan aksi yang sama di Siri Le Mans Asia (ALMS) pada perlumbaan penamat musim di Sepang, 2 hingga 4 Februari ini.

Jazeman dan rakan sepasukannya di Jackie Chan DC Racing X Jota racing, Weiron Tan serta Afiq Ikhwan Yazid bagaimanapun harus berhati-hati dan tidak terlalu yakin apabila beraksi di laman sendiri.

Ketiga-tiga mereka hanya menyertai aksi DC Racing pada pertengahan musim, hujung tahun lalu dengan aksi di Buriram adalah perlumbaan sulung mereka termasuk dalam kategori LMP2.

“Seperti saya katakan sebelum ini, perancangan jangka panjang kami adalah untuk perlumbaan 24 jam di Le Mans (di Perancis) namun untuk jangka pendek, fokus kami adalah di Sepang, di mana kami mahu menamatkan perlumbaan di kedudukan paling baik.

“Walaupun dari latar belakang berbeza, saya rasa Weiron, Afiq dan saya berjaya bergabung dengan baik sejak hari pertama.

“Kami berjaya mencatat keputusan membanggakan (di Buriram) dan mengejutkan semua pihak, termasuk pelumba kompetitif di ALMS.

“Selain itu, banyak lagi perkara yang perlu kami pelajari dan kami tidak boleh terlalu yakin kerana tahap perlumbaan ini sangat tinggi.

“Apa yang kami perlukan ialah mencuba jentera ini sekerap mungkin sehingga kami berasa selesa dan semuanya berjalan lancar,” kata Jazeman ketika dihubungi hari ini.

Jazeman yang kali terakhir beraksi di Sepang sejak memenangi perlumbaan Formula BMW Asia 2007, mengakui tidak sabar untuk sekali lagi beraksi di gelanggang sendiri.

“Saya sudah lama tidak berlumba di sana, namun Weiron dan Afiq kerap beraksi di Sepang sejak kebelakangan ini. Ia sudah tentu sangat menarik untuk berlumba di sana dengan jentera LMP2, lebih laju dan mencengkam.”

Jazeman sebelum ini beraksi selama dua musim di Siri Blancpain Endurance Series.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 January 2018 @ 10:51 PM