V SHEM (kanan) dan Tan Wee Kiong ketika menentang Yew Sin dan Ee Yi di pusingan kedua Perodua Malaysia Masters 2018. -Foto EIZAIRI SHAMSUDIN
Helmi Talkah


BEREGU lelaki negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong menyifatkan pertemuan menentang juara dunia 2017 dari China, Liu Chen-Zhang Nan pada aksi suku akhir Malaysia Masters, esok sebagai ujian sebenar buat mereka selepas kembali digandingkan awal bulan ini.

Terdahulu, pemenang pingat perak Olimpik Rio 2016 itu mara ke suku akhir selepas menewaskan rakan senegara, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin 21-17, 21-17 manakala Liu Chen-Zhang Nan mengetepikan cabaran Hiroyuki Endo-Yuta Watanabe 21-11, 21-13 pada aksi pusingan kedua di Arena Axiata, hari ini.

“Kami pernah bertemu mereka beberapa kali sebelum kami dipisahkan. Sudah pasti ia menjadi perlawanan yang sukar tetapi kami akan beri yang terbaik dan memberi tentangan sengit,” kata Wee Kiong.

Sementara itu, V Shem berkata, kombinasinya bersama Wee Kiong semakin bertambah baik dan berharap mampu melakar banyak kejayaan dalam saingan tahun ini.

Tahun 2016 adalah detik gemilang beregu itu apabila meraih perak Olimpik Rio dan beberapa gelaran juara termasuk Terbuka Denmark dan Siri Super Akhir di Dubai.

“Setakat ini semuanya berjalan baik, persefahaman serta kombinasi kami lebih baik. Diharapkan, kami boleh kekalkan dan mencapai lebih banyak kejayaan tahun ini,” kata V Shem.

Saingan Malaysia Masters adalah kejohanan kedua V Shem-Wee Kiong sejak kembali digandingkan selepas beraksi di Thailand Masters, minggu lalu.

Di Bangkok, beregu ke-29 dunia itu berjaya mara sehingga separuh akhir sebelum tewas di tangan gandingan tuan rumah, Tinn Isriyanet-Kittisak Namdash.

Dalam pada itu, beregu campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jamie turut mengesahkan tempat ke suku akhir selepas menewaskan pasangan Taiwan, Wang Chi Lin-Lee Chia Hsin 21-16, 21-8.

Mereka akan bertemu pemenang perlawanan antara rakan senegara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing dengan beregu Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Putitta Supajirakul bagi merebut tempat ke separuh akhir, esok.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 January 2018 @ 4:36 PM