Mohd Fitrie Muhamad


Selepas lima tahun hilang dalam radar utama Liga Malaysia (Liga M) yang kini dikenali sebagai Liga Super, skuad Kuala Lumpur kembali membuat kemunculan semula bagi saingan musim 2018.

Kali ini, penampilannya lebih gah kerana hadir ke gelanggang utama secara automatik selepas meraih status juara Liga Perdana 2017.

Lonjakan itu sekaligus mengenepikan seketika detik hitam yang pernah ditempuh ketika beraksi di Liga Perdana 2013 dan terjerumus ke Liga FAM pada 2015.

Ia cukup memeritkan, ditambah pula dengan pelbagai isu dalaman yang melanda pasukan termasuk kontroversi mengatur perlawanan.

Sedangkan, sebelum ini, skuad yang kini dengan digelar The Hawk pernah mencatat hatrik menjulang Piala Malaysia pada 1987 hingga 1989.


SESI latihan skuad KLFA

Bagi musim 2018, Kuala Lumpur dijangka akan tampil dengan ‘ramuan Brazil’ apabila bakal ditunjangi oleh empat watak utama dari negara kuasa besar bola sepak dunia itu. Bermula dengan ketua jurulatihnya, Fabio Maciel, Kuala Lumpur turut akan diperkuatkan oleh tiga import dari Brazil yang diketuai penyerang sensasi, Guilherme De Paula Lucrecio, Jonior Aparecido Guimaro de Sauza dan Paula Josue Stumer dos Reis.

Bagi Maciel, status itu bukan jaminan untuk diserapkan secara automatik ke dalam kesebelasan itu kerana beliau bersikap terbuka dan bersedia memberi peluang kepada pemain untuk tampil dengan aksi terbaik.“Kami kini sedang mempersiapkan pasukan sebelum aksi pertama menentang Selangor. Semua pemain ada peluang untuk beraksi.


BANTUAN rawatan diberikan kepada pemain

“Penting buat kami untuk ada beberapa perlawanan persahabatan bagi mengenalpasti kelemahan.

Untuk itu, pemain perlu gunakan peluang ini untuk buktikan kemampuan masing-masing.

“Bagi saya, sebelum sepak mula, tiada mana-mana pasukan boleh mendabik dada mereka adalah pasukan pilihan. Jadi, Kuala Lumpur juga layak bergelar pencabar utama jika beraksi dengan cemerlang,” kata Maciel.

Hakikat sama diakui bekas penyerang skuad kebangsaan, Zaquan Adha Radzak yang menuntut rakan sepasukannya supaya tampil lebih baik bagi mengembalikan kegemilangan skuad The City Boys.Bekas tonggak Johor Darul Ta’zim II (JDT II) itu mengakui persiapan kali ini berjalan dan dia sedia untuk mengerah kudrat tanpa mengira posisi mana yang ditetapkan jurulatih.


SESI taklimat selepas tamat latihan. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM

“Saya tidak kisah untuk diletakkan di mana-mana posisi, asalkan ia bersesuaian dengan kehendak pasukan.

Apa pun kami masih memerlukan aksi kompetitif untuk memantapkan pasukan.“Ia penting untuk persiapan pasukan. Secara peribadi, saya masih belum berpuas hati dengan prestasi sendiri tetapi yakin semuanya akan dapat diatasi sebelum sepak mula,” katanya.

Apa kata mereka: “Dengan kehadiran pemain senior seperti Indra Putra Mahayuddin, ia menambah kekuatan pasukan dan berharap pemain muda lain dapat belajar daripadanya sekali gus memastikan keserasian pasukan pada tahap terbaik,” kata Zaquan Adha Radzak.

“Semuanya berjalan lancar (persiapan), namun kami tidak boleh berpuas hati sebaliknya perlu kekal perbaiki segala kelemahan yang masih ada.

Pasukan melakukan perubahan dan sudah mengharungi beberapa perlawanan, jadi pemain semakin serasi tetapi masih perlu dimantapkan lagi,” Pemain Kuala Lumpur, Paulo Josue

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 January 2018 @ 10:08 AM
Skip this ad x