PSG  menempelak dengan mengatakan Lyon hanya cuba untuk mengumpul wang. Foto AFP
PSG menempelak dengan mengatakan Lyon hanya cuba untuk mengumpul wang. Foto AFP

PARIS: Paris Saint-Germain (PSG) menuduh Pengerusi Lyon, Jean-Michel Aulas menjual “berita palsu” susulan serangan yang dibuatnya terhadap pendahulu Ligue 1 itu yang berbelanja mewah ketika jendela perpindahan.

Aulas mengecam dengan berkata “bahaya inflasi yang dicipta PSG di Perancis” dengan kelab gergasi berkenaan membalas menerusi Twitter.

PSG menempelak dengan mengatakan Lyon hanya cuba untuk mengumpul wang yang banyak dengan kehadiran penonton selepas pelawat hadir ke bandar berkenaan dengan beberapa nama besar seperti Neymar dan Kylian Mbappe.

“Selepas berita palsu daripada Jean-Michel Aulas hari ini sebagai mukadimah pertemuan Lyon-PSG, satu soalan: Adakah kamu cuba untuk memecahkan rekod kehadiran dan resit di pintu stadium dengan menanti kunjungan PSG?”, tulis PSG menerusi Twitter.

Aulas yang mengambil alih Lyon pada 1987 berjaya mengemudi kelab itu untuk menjulang tujuh kejuaraan liga berturut-turut antara 2002 hingga 2008.

Sejak diambil alih oleh syarikat Pelaburan Sukan Qatar pada 2011, PSG memenangi empat gelaran liga dan sekali lagi berada di tempat pertama dalam pemburuan trofi Ligue 1 musim ini dengan kelebihan 11 mata di hadapan Lyon yang berada di tangga kedua.

Ini bukan kali pertama Aulas cuba untuk menaikkan kemarahan PSG terutama sebelum kedua-dua kelab bertemu.

Pada kali pertama kedua-duanya bertemu pada musim ini yang akhirnya dimenangi PSG, Aulas berkata “Tiada peluang buat kelab di tahap kedua untuk bersaing dengan PSG di atas padang.”

“PSG mahu memenangi Liga Juara-Juara disebabkan hubungan politik,” kata Aulas kepada akhbar Perancis, Le Parisien.

“Inflasi yang terjadi di Perancis adalah disebabkan inflasi jadian oleh PSG kerana dana itu datang daripada negara. PSG cuba untuk mengejar dan mengatasi kelab-kelab paling berkuasa, tetapi kelab-kelab itu menjana sumber mereka sendiri.”

Aulas juga menuduh pembelian Neymar yang memecah rekod dunia tidak dibayar 100 peratus oleh PSG dan mempersoalkan sama ada sebahagian gaji pemain Brazil itu diperoleh secara terus dari Qatar. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 January 2018 @ 1:01 PM