ARSENAL menamatkan kemarau kemenangan sepanjang lima perlawanan dengan membelasah Crystal Palace 4-1 di Stadium Emirates. Foto AFP
ARSENAL menamatkan kemarau kemenangan sepanjang lima perlawanan dengan membelasah Crystal Palace 4-1 di Stadium Emirates. Foto AFP

London: Arsene Wenger yakin Arsenal sudah sedia untuk kembali melakar kemenangan selepas semua masalah berkaitan perpindahan pemain kelab itu selesai sepenuhnya.

Arsenal menamatkan kemarau kemenangan sepanjang lima perlawanan dengan membelasah Crystal Palace 4-1 di Stadium Emirates, malam tadi.

Empat gol sepanjang 22 minit pertama membunuh semangat juang Palace dan Nacho Monreal, Alex Iwobi, Laurent Koscielny serta Alexandre Lacazette memahat nama selaku penjaring.

Persembahan menarik Gunners itu sekali gus menjawab semua kritikan yang mendakwa mereka bakal terjejas berikutan ketiadaan Alexis Sanchez yang dijual kepada Manchester United.

Wenger menjangkakan penyerang Chile itu akan mula menyarung jersi United dalam tempoh 48 jam lagi dengan Henrikh Mkhitaryan sedia untuk bermain di Emirates.

Pengurus Arsenal itu berharap, proses perpindahan Sanchez serta penjualan Theo Walcott ke Everton akan membolehkan pemainnya kembali menumpukan perhatian dan melupakan segera soal itu.

“Apa yang paling sukar ialah buat kali pertama kami hilang pemain utama ketika tempoh perpindahan Januari,” kata Wenger.

“Keadaan itu mencetuskan rasa pelik dan tidak selesa di dalam bilik persalinan. Itulah sebabnya tempoh perpindahan di pertengahan musim menjadi sesuatu yang sukar.”

Wenger berkata, ketiadaan Sanchez dalam senarai pemain Arsenal malam tadi adalah disebabkan pemain itu berada di Manchester untuk menandatangani perjanjian bersama pasukan berkenaan.

“Saya tidak menyenaraikannya kerana adalah mustahil dia dapat bermain selepas melakukan perjalanan jauh ke Manchester untuk menguruskan masa depannya,” kata Wenger.

“Saya sudah menjangkakan perkara itu tetapi saya belum boleh mengumumkannya kerana dalam tempoh 48 jam ini, keputusan boleh berubah.”

Wenger enggan membuat kenyataan berhubung dakwaan Borussia Dortmund yang menyebut Arsenal sudah membida penyerang Pierre-Emerick Aubameyang.

Pemain berusia 28 tahun itu diketepikan pasukannya ketika menentang Hertha Berlin, Jumaat lalu. Aubameyang adalah penjaring terbanyak Bundesliga musim lalu dengan 31 gol dan setakat ini, dia meledak 13 gol sepanjang 15 aksi. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 January 2018 @ 10:19 AM