BIBI (kiri) mengesahkan KAFA akan melancarkan jersi baru pada 26 Januari ini.
Attirmidzie Rahman


PERSATUAN Bolasepak Kelantan (KAFA) akan melancarkan jersi rasmi pasukan The Red Warriors (TRW), 26 Januari ini.

Pada majlis yang bakal diadakan di perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV (SSMIV) itu, penyokong berpeluang beramah mesra bersama barisan pemain skuad TRW.

Presiden KAFA, Bibi Ramjani Ilias Khan ketika mengesahkan perkara itu berkata, jersi baru itu mempunyai tiga pilihan warna - merah (tuan rumah), putih (gelanggang lawan) dan biru (jersi ketiga).

“Kita akan turut menjual jersi kepada penyokong dan ia berharga RM139 setiap helai. Kualiti fabrik yang digunakan adalah sama dengan yang dipakai pemain.

“Selain jualan jersi, penyokong juga berpeluang bertemu dengan pemain dan bagi mereka yang belum mendapatkan pas bermusim, boleh dapatkan di sana nanti,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mengulas mengenai rekaan jersi baru itu, Bibi Ramjani berkata, ia dihasilkan mengikut usaha dan ‘buah fikiran’ peminat menerusi pertandingan rekaan jersi yang diadakan.

“Jersi itu kita ambil rekaannya daripada peminat dan hanya berlaku sedikit perubahan... kepada pemenang rekaan jersi itu juga kita akan umumkan pada hari sama.

“Bagaimanapun, rekaan jersi yang viral dalam media sosial sebelum ini adalah tidak betul dan rekaan sebenar hanya akan ditunjukkan pada majlis perasmian,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 January 2018 @ 4:26 PM