NICOL DAVID
NICOL DAVID

RATU skuasy negara, Nicol David mara ke suku akhir Kejohanan Juara-Juara di New York menewaskan Joelle King sekali gus membalas dendam kekalahannya di tangan pemain sama di Terbuka China, September lalu.

Bekas pemain nombor satu dunia itu bangkit selepas tewas di set kedua dan menang 11-9, 2-11, 11-7, 11-9 dalam masa 53 minit dan memperbaiki rekod pertemuan dengan pemain New Zealand kepada 13-1.

Nicol akan menentang pemain Perancis, Camille Serme yang menumpaskan pemain Australia, Donna Urquhart 11-5, 6-11, 8-11, 11-6, 11-8.

Selepas aksi sengit di set pertama, Nicol sukar membendung asakan Joelle dengan pemain nombor 9 dunia meraih 10 mata kemenangan tetapi Nicol, pemain keenam dunia mendapat rentak di dua set seterusnya untuk menempah tempat ke suku akhir dalam kejohanan yang dimenanginya pada 2014.

“Saya gembira menang hari ini,” kata Nicol selepas tamat perlawanan, awal pagi tadi.

“Setiap perlawanan sangat sengit. Saya tahu Joelle tak pernah berputus asa dan sentiasa pamer semangat juang yang tinggi. Saya pastikan pertahanan kental dan mental kuat. Saya gembira semua strategi menjadi dan menang 3-1.

“Saya akan terus bekerja keras sepanjang masa dan puas hati dengan prestasi hari ini,” katanya.

Nicol mengatasi Camille 18-1 dari segi rekod pertemuan tetapi pemain Perancis itu menang aksi terakhir mereka di Terbuka Hong Kong, pada November lalu.

“Sangat menakjubkan berada di suku akhir dan menentang juara bertahan, Camille. Tiada apa perlu dirisaukan dan saya mahu nikmati perlawanan itu,” kata Nicol.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 January 2018 @ 1:08 PM