X
NICOL DAVID
NICOL DAVID
Devinder Singh


PELUANG Nicol David untuk menjulang Kejohanan Juara-Juara musnah selepas ditundukkan Camille Serme di suku akhir yang berlangsung semalam.

Camille yang juga juara bertahan, bangkit dari ketinggalan sebelum menang 2-11, 12-10, 11-8, 11-5 dalam tempoh 50 minit sekali gus mencatat kemenangan kedua ke atas Nicol sepanjang 20 pertemuan antara mereka.

Selepas cemerlang dan hanya membenarkan lawan memperoleh dua mata di set pertama, Nicol yang juga pemain nombor enam dunia itu ketinggalan 10-7 di set kedua sebelum mengheret perlawanan ke tie-break hasil kesilapan Camille.

Tetapi Camille bangkit memperbaiki keadaan dan menyamakan kedudukan 1-1 sebelum memenangi dua set seterusnya untuk ke separuh akhir.

“Nicol terlalu kuat di set pertama sedangkan saya masih belum bersedia sepenuhnya,” kata Camille. “Perlawanan hari ini berlangsung sengit dan saya terpaksa mengerah setiap tenaga. Mujur saya berjaya muncul pemenang.”

Kekalahan itu melebarkan lagi jurang kekecewaan Nicol yang gagal layak ke separuh akhir di tujuh kejohanan sejak Terbuka British, Mac tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 January 2018 @ 12:35 PM
Digital NSTP Subscribe